suria

Kebakaran Di Kampung Dekat Lapangan Terbang Kota Kinabalu

Kebakaran di Kampung Peringatan Petagas.

KOTA KINABALU: Penduduk Kampung Peringatan Petagas dekat Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu II dikejutkan dengan kebakaran yang berlaku di perkampungan itu di sini pada Selasa.

Kebakaran yang bermula pada kira-kira pukul 6.40 petang itu memusnahkan lima buah rumah dan dua kenderaan.

Bagaimanapun, tiada kematian atau kecederaan dilaporkan dalam insiden tersebut.

Seorang penduduk kampung, Steven Camson berkata, dia terkejut apabila isterinya menjerit mengenai rumah-rumah jirannya terbakar.

"Isteri saya bersiap sedia untuk keluar dari rumah bersama dokumen-dokumen penting, tetapi mujurlah api tidak merebak ke rumah kami," katanya pada Rabu.

Tambahnya, anggota bomba mengalami kesukaran untuk memasuki kawasan itu menyebabkan beberapa kenderaan berpatah balik dan menggunakan laluan lain.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah, Mohd Affendy K. Ramin berkata, panggilan kecemasan diterima pada pukul 6.45 petang dan empat jentera bomba dari Balai Bomba Sembulan dan Penampang bersama 30 anggota bergegas ke tempat kejadian dalam beberapa minit.

"Punca kebakaran masih disiasat," katanya ketika dihubungi.

Kebakaran dapat dikawal pada kira-kira pukul 10.30 malam.

Artikel Lain