BUTTERWORTH: Pegawai polis yang bertanggungjawab mencatat verbatim kandungan ceramah Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu mengenai isu komunis Bukit Kepong pada Ogos 2011, memberitahu Mahkamah Sesyen bahawa beliau mencatat apa yang didengar menerusi rakaman video yang diterimanya. Inspektor Mohd Azlizan Jamaludin yang bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam berkata tugas untuk mengalihkan video kepada teks adalah satu tugasan terperinci yang memerlukan beliau serta seorang lagi anggota mendengar dengan teliti dan mencatat kata demi kata. "Saya dan seorang lagi anggota mendengar, mencatat dan membuat perbandingan akhir. Perbandingan akhir dibuat untuk melihat sama ada pendengaran (apa yang didengar) saya dengan seorang lagi anggota mungkin ada perbezaan," katanya di hadapan Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi. Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan peguam Mohamed Hanipa Maidin yang mewakili Mohamad Sabu, pada perbicaraan kes isu komunis Bukit Kepong, di sini, Rabu. Mohamad, yang juga dikenali sebagai Mat Sabu, 59, didakwa memfitnah anggota polis dan keluarga mereka yang mempertahankan diri dalam serangan pengganas komunis di Balai Polis Bukit Kepong, Muar pada 23 Feb 1950 dengan membuat tohmahan yang boleh merosakkan nama baik mereka. Beliau didakwa melakukan perbuatan itu dalam ceramahnya di Pusat Asuhan Tadika Islam (Pasti) Al Fahmi, Markas Tarbiyah Pas Padang Menora, Tasek Gelugor pada 21 Ogos 2011. Tertuduh juga menghadapi pertuduhan pilihan iaitu memfitnah tiga anggota polis iaitu Konstabel Marin Abu Bakar Daud, Konstabel Jaafar Hassan dan Yusoff Rono serta ahli keluarga mereka pada masa, tarikh dan tempat yang sama. Mat Sabu didakwa mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. Terdahulu, pada perbicaraan itu mahkamah turut diperdengarkan audio bagi video ceramah Mat Sabu itu yang berdurasi satu jam 40 minit. Sementara itu, ketika ditanya Timbalan Pendakwa Raya Datuk Razali Che Ani sama ada Mohd Azlizan membuat catatan tarikh, Mohd Azlizan berkata beliau mengemukakan catatan itu yang dibuat dalam sistem Microsoft Word dan ia mempunyai tarikh dan masa catatan 'verbatim' itu dibuat. Perbicaraan bersambung esok.