SHAH ALAM: Selepas pemecatan lima ahli exco dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP pada Selasa, nasib Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Selangor akan diketahui hari ini (Khamis). Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata keputusan sama ada untuk memecat mereka hanya akan diputuskan selepas mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) pada Khamis. "Status Ahli Majlis PBT hanya akan diketahui esok (Khamis). Kami perlu melihat sama ada pentadbiran dan pembangunan di negeri ini dapat berjalan dengan lancar. Jika tidak ada keperluan berbuat demikian (menggugurkan mereka), kita tidak akan melakukannya. "Namun kita akan melakukannya jika perlu," kata Khalid kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat exco di Bangunan SUK di sini, Rabu. Khalid berkata lima ahli exco yang dipecat - Datuk Teng Chang Khim, Ean Yong Hian Wah dan V. Ganabathirao dari PKR serta Elizabeth Wong dan Dr Daroyah Alwi dari PKR turut dialu-alukan untuk menghadiri mesyuarat MTES pada Khamis. "Namun bukan sebagai exco. Kami akan mengadakan perbincangan secara terbuka disana," katanya. Namun, masih belum diketahui jika lima ahli exco yang dipecat akan menerima jemputan Khalid.