KUALA TERENGGANU: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memperkemas proses siasatan berhubung kegiatan pemerdagangan manusia dan penyeludupan migran di negara ini bagi mengelak pesalah terlepas daripada hukuman setimpal. Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohamad Salleh berkata ini kerana ada pesalah jenayah itu dikenakan hukuman ringan ekoran kekurangan bukti dan siasatan kurang sistematik. Katanya bagi mengatasi kelemahan itu, PDRM akan terus mengadakan bengkel dan seminar untuk pegawai penyiasat Jabatan Siasatan Jenayah bagi mendapatkan kaedah siasatan lebih bermutu. "Sebelum ini kita kekurangan bukti untuk mendakwa mereka yang terlibat dalam jenayah pemerdagangan orang dan hukuman yang dikenakan menjadi ringan, jadi dengan memperkemaskan proses siasatan...mana-mana pesalah yang terlibat tidak akan terlepas dari dikenakan hukuman yang setimpal". Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutupan Persidangan Anti Pemerdangan Orang dan Penyeludupan Migran pada Khamis. Turut hadir Ketua Polis Terengganu Datuk Jamshah Mustapa dan Timbalan Pengarah Jenayah Terancang Datuk Huzir Mohamed. Menurutnya menerusi seminar seperti ini, ia dapat meningkatkan ilmu pengetahuan serta melakukan penyiasatan kes secara holistik sehingga penghujungnya mereka yang terlibat diheret ke mahkamah. Mereka terbabit dalam jenayah pemerdagangan manusia di Malaysia terdiri daripada individu, ahli perniagaan dan juga didalangi sindiket jenayah terancang, kata Mohamad. Katanya sejumlah besar wanita muda yang menjadi mangsa pemerdagangan orang dipaksa bekerja di restoran dan hotel di negara ini dengan sesetengahnya dipaksa bekerja dalam industri seks komersial. Dalam pada itu, Mohamad berkata PDRM akan terus bekerjasama dengan Jabatan Imigresen, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (KDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Jabatan Tenaga Kerja bagi memerangi jenayah tersebut. "Kesemua jabatan dan agensi ini mempuyai kepakaran dalam tugas masing-masing, jadi jika kita kongsi, tentunya kita akan mendapat satu keputusan yang baik bagi proses siasatan dan pertuduhan," katanya.