KUALA LUMPUR: Dataran Merdeka menjadi titik tumpu program 'Doa Untuk Malaysia' Jumaat malam bersempena sambutan Hari Kemerdekaan yang turut menjadi tanda solidariti rakyat Malaysia ketika negara dijengah musibah. Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan beberapa menteri kabinet menyertai lautan manusia di dataran bersejarah itu dalam menadah tangan memanjatkan doa kepada Ilahi. Antara kandungan doa itu ialah agar Allah melindungi nikmat perpaduan yang dikecapi selain memohon kesejahteraan dan keamanan buat negara. Sementara itu, rakyat Malaysia penganut agama Hindu dan pengikut Sikh turut berdoa mengikut kepercayaan di rumah ibadat masing-masing. Bagi penganut Buddha dan Kristian, majlis serupa dijadual berlangsung pada Ahad. Menyentuh tragedi kehilangan pesawat MH370 dan nahas MH17 di Ukraine yang mengorbankan 298 nyawa, peserta program di Dataran Merdeka berdoa supaya musibah seumpama itu adalah yang terakhir dalam lipatan sejarah negara. Mereka turut mendoakan agar penduduk bumi Gaza, yang menjadi mangsa kezaliman rejim zionis Israel, diberi kekuatan supaya mereka akhirnya dapat menikmati kemerdekaan seperti rakyat Malaysia. Turut didoa Malaysia selamat daripada segala wabak penyakit, apa juga bentuk bahaya dan kekacauan. Pada program yang disiar secara langsung di kaca televisyen itu, Muhyiddin disertai isteri Puan Sri Norainee Abdul Rahman selain Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek. Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom, Menteri Kerja Raya Datuk Fadillah Yusuf dan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor. Program itu anjuran bersama Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Yayasan Pendidikan Cheras dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. Program bermula sejak 6.30 petang dengan bacaan zikir, tazkirah, solat Maghrib, bacaan Yasin dan tahlil. Muhyiddin menunaikan solat Isyak dan Hajat di tengah padang Dataran Merdeka bersama-sama jemaah lain dengan diimamkan Mufti Wilayah Persekutuan Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri. Ia disusuli bacaan doa untuk negara yang diketuai Imam Besar Masjid Wilayah Persekutuan Zakariah Isa. Selain tragedi MH370 pada 8 Mac dan nahas pesawat MH17 yang ditembak jatuh di timur Ukraine pada 17 Julai, Malaysia sebelum ini turut diduga dengan insiden pencerobohan pengganas di Lahad Datu, Sabah. Majlis malam ini turut diwarnai dengan selawat dan qasidah pimpinan ulama terkenal Indonesia Habib Syech Abdul Qadir Assegaf diikuti tausiyah Cinta Rasul oleh Sayyid Ahmad Muhammad al-Maliki al-Hasani. Ia menjadi acara pembuka tirai kepada program kemerdekaan lain yang dirancang sepanjang bulan Ogos.