IPOH: Seorang ejen penghantaran pelajar ke luar negara dihadapkan di Mahkamah Sesyen atas lima pertuduhan pecah amanah membabitkan wang pembiayaan pelajar berjumlah RM78,888 dua tahun lepas. Chan Voon Jiun, 50, mengaku tidak bersalah ketika kesemua pertuduhan dibacakan di depan Hakim Rushan Lutfi Mohamed. Rushan Lutfi membenarkan Chan diikat jamin sebanyak RM35,000 dengan lima penjamin dan menetapkan 25 September ini untuk sebutan kes serta mengarahkan tertuduh menyerahkan pasportnya kepada mahkamah. Dia didakwa mengambil wang berjumlah antara RM12,800 dan RM18,800 bagi menguruskan visa, pemeriksaan kesihatan serta pendaftaran kemasukan pelajar ketiga kolej di Australia, namun tidak berbuat demikian. Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di syarikat miliknya, E Eagle Enterprise, di No 24-A, Persiaran Greentown Business Centre di sini antara 21 Februari dan 17 Oktober 2012 mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan boleh disebat serta didenda, jika sabit kesalahan. Kes dikendali Timbalan Pendakwa Raya Nadiah Isa manakala peguam Mohamed Yazzer Azzad Zainuddin mewakili Chan.