suria

Hak Kiki Untuk Sertai Mana-Mana Pertubuhan

Sim Siak Hong @ Uncle Sim
KUANTAN: Keputusan Siti Fairrah Ashykin Kamaruddin, yang juga dikenali sebagai Kiki untuk menyertai Perkasa adalah haknya, kata mangsa buli jalan raya, Sim Siak Hong (Uncle Sim).

Siak Hong, 68, berkata dia menyedari perkembangan terkini itu tetapi tidak mahu membuat ulasan lanjut kerana ia adalah sesuatu yang peribadi.

"Terdapat kebebasan di negara ini. Dia boleh mengambil bahagian atau menyertai mana-mana organisasi yang dia mahu.

"Kami belum pernah berjumpa atau bercakap sejak dia dijatuhi hukuman oleh mahkamah tetapi saya akan terus berdoa untuk kesejahteraan dirinya.

"Seluruh episod sudah tamat dan tidak perlu diungkit kembali untuk perbincangan," katanya ketika dihubungi, Jumaat.

Pada Khamis, dilaporkan bahawa Perkasa Selangor telah mengumumkan Siti Fairrah, 30, sebagai salah seorang daripada ahli terbaharunya dengan memuat naik gambar wanita itu memegang kad dan sijil keahlian bersama-sama dengan seorang lagi anggota baharu, di laman Facebook Perkasa Selangor.

Pada 22 Julai, Siti Fairrah, telah dikenakan denda RM5,000 selepas dia mengaku bersalah dengan sengaja melakukan kerosakan kepada kereta Toyota Corolla yang dipandu oleh Siak HOng di tempat letak kereta UTC, Jalan Sekilau, dekat sini.

Dia juga telah diarahkan oleh Mahkamah Sesyen untuk melakukan kerja komuniti 240 jam sebagai hukuman bagi kesalahan itu.
Uncle Sim, Kiki, Perkasa

Artikel Sebelum

Artikel Lain