suria

IKIMfm Siar Program Khas Laporan Haji Mulai 27 Ogos Ini

KUALA LUMPUR: Radio Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIMfm), dengan kerjasama Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji), akan menyiarkan program khas iaitu Laporan Haji 1435 Hijrah dari Tanah Suci Mekah bermula 27 Ogos ini.

 

Sebanyak tiga program utama akan disiar iaitu Laporan Haji, yang diselit dalam Buletin IKIMfm pada setiap Isnin hingga Jumaat pukul 8.15 pagi mulai 27 Ogos hingga 7 Oktober; Program Debaran Mabrur pada setiap hari dari 4.45 petang mulai 26 September hingga 10 Oktober dan Forum Bicara Ad-Deen pada setiap Ahad pukul 9 malam dari 7 hingga 28 September.

Pengarah Pusat Media IKIM, Dr Nik Roskiman Abdul Samad berkata, program Forum Bicara Ad-Deen dirakam di Mekah.

"Kita mengambil kesempatan buat forum yang akan dirakam di Tanah Suci Mekah dan Madinah serta dihantar ke stesen radio IKIMfm untuk disiarkan kepada pendengar," katanya dalam sidang media pelancaran Program Haji IKIMfm, Jumaat.

Beliau berkata, pihaknya turut memuat naik setiap program di laman sesawang www.ikimfm.my yang boleh diakses pada bila-bila masa.

"Kami juga akan cuba merakam visual pendek berdurasi dua hingga tiga minit berkisarkan tentang aktiviti jemaah haji yang melakukan ibadah serta suasana menarik dan akan dimuat naik dalam Facebook IKIMfm," katanya.


 

IKIMfm, haji, Mekah

Artikel Lain