suria

Tarik Lesen Jika Campur Beras - Ismail Sabri

JITRA: Lesen pengilang beras akan ditarik balik jika mereka terlibat dengan kegiatan mencampurkan beras Thailand dengan beras tempatan sebelum dijual sebagai beras tempatan.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata terdapat aduan mengenai beberapa kilang tempatan yang dipercayai melakukan kegiatan itu.

Beliau berkata kegiatan pengilang yang tidak bertanggungjawab itu merugikan petani tempatan dan pihaknya akan melakukan pemeriksaan teliti terhadap mereka yang menyalah guna lesen.

"Kalau kita dapat tangkap kilang yang kampitkan beras seludup, kita akan batalkan lesen mereka serta-merta," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pusat Belian Padi Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) H-II Kepala Batas dan Pelancaran Pembiayaan Jentera dan Mesin (MAEF-i) Agro Bank di Kampung Baru,Telok Malek pada Sabtu.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata kerajaan akan memberi tempoh dua tahun kepada petani untuk mempertingkat pengeluaran padi berkualiti tanpa bergantung kepada ihsan Padiberas Nasional Berhad (Bernas) bagi mengurangkan peratusan pemotongan pemutuan padi.

Beliau berkata sebelum ini, kerajaan meminta Bernas melakukan pemotongan pemutuan padi kurang daripada 20 peratus walaupun hasil padi itu tidak berkualiti dan perlu dipotong lebih daripada 30 peratus.

"Sebelum ini terdapat aduan daripada petani yang mendakwa ada pengilang memotong pemutuan padi antara 30 hingga 50 peratus disebabkan kualiti padi yang rendah.

"Kita beri Bernas lakukan pemotongan ini dalam tempoh dua tahun sahaja dan kita mahu petani tingkatkan kualiti hasil padi mereka dengan mengikut amalan pertanian baik," katanya.

Ismail Sabri berkata tempoh dua tahun bermula hari ini adalah bertujuan mengubah sikap petani seperti dari segi cara penanaman dan pengurusan sawah sekali gus mempertingkat pendapatan mereka pada masa akan datang.

Sementara itu, beliau berkata pihaknya bercadang membuka sebuah kilang memproses padi pada masa akan datang selepas melihat kejayaan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) menubuhkan tiga pusat belian padi iaitu dua di Kedah dan satu di Perlis.

Katanya, ini merupakan usaha kerajaan untuk menjadikan petani di Malaysia sebagai tuan padi dan tuan beras serta sebagai jihad bagi memerangi orang tengah yang mengaut keuntungan berlipat ganda.

Beliau berkata Mada merancang membuka lapan lagi pusat belian yang mampu menempatkan kira-kira 4,000 tan padi pada satu-satu masa.

Dalam perkembangan lain, Ismail Sabri mengumumkan bahawa petani boleh memilih sendiri jenis racun bersubsidi mengikut kesesuaian jenis tanah dan padi mereka pada musim penanaman akan datang.

Beliau berkata setiap petani akan menerima kupon racun bersubsidi bernilai RM200 dan racun terbabit boleh didapati di PPK.

"Petani lebih tahu jenis racun yang sesuai untuk tanah dan tanaman mereka. Jadi mereka berhak untuk tentukan jenis racun yang sesuai, tidak seperti sebelum ini, jenis racun ditentukan oleh kerajaan," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Lain