suria

Wisma Pahlawan Di KL Akan Diroboh Dan Dibina Semula

Wisma Pahlawan di Kuala Lumpur bakal dibina semula.
KANGAR: Wisma Pahlawan di Kuala Lumpur akan dirobohkan untuk dibina semula dijangka menjelang akhir tahun depan, kata Pengerusi Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM), Laksamana (B) Tan Sri Anuwar Mohd Noor.

Menurutnya, seorang usahawan telah memberi komitmen untuk membiayai pembinaan wisma baharu setinggi 30 tingkat atas dasar tanggungjawab sosial bagi menghargai sumbangan bekas anggota tentera terhadap negara.

Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan nama usahawan terbabit termasuk kos pembinaannya namun yakin projek itu bakal menjadi penyumbang sumber kewangan untuk membiayai program-program kebajikan pesara Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

"Beberapa perkara kecil akan kita selesaikan dahulu sebelum projek itu boleh dilaksana khususnya hutang dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Indah Water Konsortium," katanya semasa berucap pada majlis perasmian persidangan ke-50 PVATM cawangan Perlis di sini, Sabtu.

Menteri Besar Perlis Datuk Seri Azlan Man merasmikan persidangan itu yang dihadiri lebih 500 ahli PVATM.

Beliau berkata, mengikut perancangan bangunan Wisma Pahlawan 13 tingkat itu yang terletak berhampiran Dewan Bahasa dan Pustaka akan dirobohkan sebelum akhir tahun ini.

Dalam perkembangan lain, Anuwar berkata kerajaan negeri Perak telah meluluskan sebidang tanah seluas 30 ekar (12 hektar) bagi projek perumahan mampu milik untuk dijual kepada bekas tentera.

"Projek rumah tiga bilik ini yang purata seluas 1,000 kaki persegi akan dibina oleh Tabung ATM dan akan dijual bawah RM100,000 seunit," katanya yang juga pengerusi Tabung ATM.

Sementara itu, Anuwar berkata isteri perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor selaku penaung Tabung Pahlawan dijadual melancarkan kempen mengisi tabung itu pada 7 September depan.

Katanya, kempen itu bermula 31 Julai lepas dan berakhir 31 Disember tahun ini menyasarkan kutipan sebanyak RM5 juta.

Dalam pada itu, katanya buat pertama kali tahun ini PVATM membuat pembayaran sekali gus sebanyak RM500 masing-masing kepada 1,592 bekas anggota tentera yang digolongkan sebagai Orang Kurang Upaya (OKU).


Artikel Lain