suria

DAP Pertegas Pendirian Mahu Wan Azizah Jadi MB

Dr Wan Azizah ketika memenangi pilihan raya kecil DUN Kajang, Mac lalu.
KLANG: Ketika PAS menarik kembali sokongan kepada Tan Sri Khalid Ibrahim untuk kekal sebagai menteri besar Selangor, DAP berkeras dengan pendiriannya menyokong Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai pengganti.

Pada Ahad, PAS telah menarik balik sokongannya terhadap Khalid dan mencalonkan Dr Wan Azizah dan Adun Bukit Antarabangsa Azmin Ali menggantikan Khalid bagi menyelesaikan masalah dan kebuntuan yang melanda negeri ini.

Bendahari DAP Selangor Ng Sze Han berkata DAP dan PKR telah pun menandatangani perisytiharan beberapa hari lalu bagi Dr Wan Azizah menggantikan Khalid sebagai menteri besar. 

"Pendirian kami adalah amat jelas iaitu supaya Dr Wan Azizah mengambil alih dan deklarasi ini juga ditandatangani oleh Azmin Ali sendiri," katanya.

Mengenai kemungkinan untuk Khalid kekal sebagai menteri besar sehingga November iaitu ketika DUN bersidang, Ng berkata adalah salah dari segi moral jika Khalid terus memegang jawatannya.

"Walaupun kami akan sentiasa mematuhi arahan istana mengenai perkara ini, bagaimanapun jelas sekali beliau (Khalid) perlu berundur kerana tidak ada seorang pun di dalam Pakatan Rakyat menyokong beliau," katanya.

Dr Xavier Jayakumar (PKR) juga menggesa untuk Khalid berundur.

Adun Seri Andalas itu menggesa Khalid untuk membuat kenyataan yang menyatakan bahawa beliau kini hanyalah menteri besar sementara sehingga Sultan kembali ke negara ini pada 27 Ogos.

"Dari segi moral, beliau harus berundur, kerana beliau kini tidak ada alasan memandangkan PAS telah membuat keputusan untuk tidak menyokong beliau," katanya.

Mengenai keputusan PAS menarik balik sokongannya terhadap Khalid, Dr Xavier berkata ia sepatutnya telah dilakukan lebih awal.

"Keputusan itu patut dibuat beberapa hari yang lalu kerana ia sekurang-kurangnya menyelamatkan kita daripada drama-drama baru-baru ini," katanya.

Setiausaha PAS Selangor Mohd Khairuddin Othman, dalam satu kenyataan, berkata parti itu akan terus bekerjasama dengan mana-mana calon yang dilantik oleh Istana.

"PAS Selangor akan menjunjung perintah Sultan Selangor dalam perkara ini," katanya dan menggesa rakan-rakan anggota parti menghormati dan mematuhi keputusan yang dibuat oleh PAS untuk tidak menyokong Khalid sebagai menteri besar. 

Ketua Umno Selangor Datuk Seri Noh Omar berkata beliau akan menunggu keputusan pemimpin partinya sebelum membuat sebarang kenyataan mengenai perkara itu. 

Umno sebelum ini berkata semua 12 wakil rakyat Selangor menyokong Khalid sebagai MB.
Ng Sze Han, DAP, Khalid Ibrahim, Azmin Ali

Artikel Lain