suria

Perompak Barang Kemas Antarabangsa Bolos Ke Malaysia

KUALA LUMPUR: Dua lelaki yang merompak dua cincin bernilai RM1.4 juta dalam tempoh satu jam dari dua kedai barang kemas di sini adalah pencuri permata yang dikehendaki di peringkat antarabangsa.

Pengurus Keselamatan Barang Kemas Antarabangsa, Martin Winckel berkata lelaki terbabit yang dipercayai berasal dari Taiwan juga telah melakukan dua rompakan barang kemas bernilai RM697,601 di kedai barang kemas mewah di London dan Antwerp tahun lepas.

Mereka juga terbabit dalam lima percubaan kecurian lain, menggunakan modus operandi yang sama di London dan Hamburg antara September 2013 dan Julai 2014.

Poster kedua-dua lelaki yang dikehendaki itu telah diedarkan peniaga barang kemas dan ejen insurans Eropah sejak Julai. Perniagaan di Asia tidak dimaklumkan.

"Ketua kepada kumpulan yang terdiri daripada dua ahli ini dikenali sebagai Meng, berumur 46. Dia biasanya bekerja dengan seorang rakan sejenayah yang berbeza. Dia telah terlibat dalam 14 kes lain di Eropah Tengah sejak 2012. Barang kemas yang paling mahal yang pernah dicuri bernilai AS$1.5 juta (RM4.73 juta) di Bahrain pada 22 November 2013," kata Winckel kepada The Star.

Beliau berkata, suspek yang lain masih belum dikenal pasti. 

Kerugian rompakan membabitkan Meng dianggarkan berjumlah RM6.34 juta. 

"Mereka adalah profesional yang diupah mencuri untuk sindiket yang menjual barang kemas pada harga yang lebih rendah di China dan Rusia. Sindiket itu akan memotong atau mengubah lima hingga 10 peratus daripada permata supaya pendaftaran atau tanda tidak dapat dikesan, "katanya.

Polis Dang Wangi berkata mereka menyedari tentang pasangan antarabangsa yang terkenal itu tetapi berkata ini adalah kali pertama dilaporkan mereka menjalankan kegiatan di Malaysia.

Artikel Sebelum

Artikel Lain