PETALING JAYA: Penasihat Suaram Kua Kia Soong mempertahankan keputusan Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang menyaman mereka yang menuduhkan dengan tindakan salah laku, dengan berkata Khalid mempunyai hak untuk membela diri. Beliau juga mempertahanankan tindakan peguam hak asasi manusia Edmund Bon, yang baru-baru ini berdepan kritikan oleh beberapa NGO kerana mengambil kes saman fitnah Khalid terhadap portal berita. "Isu utama di sini, kepada semua pembela hak asasi manusia, adalah menentukan keseimbangan antara hak untuk kebebasan bersuara dan keperluan untuk melindungi reputasi seseorang. "Individu mempunyai hak untuk melindungi reputasi mereka terhadap 'kecederaan' oleh orang tertentu atau media yang disifatkan telah menjatuhkan keyakinan individu itu di dalam masyarakat atau yang telah mendedahkan individu kepada sendaaan awam atau kebencian," jelas Kia Soong dalam kenyataannya, Selasa. Beliau berkata Bon telah mematuhi undang-undang apabila menerima kes Khalid dan melaksanakan tugas profesionalnya dalam cara terbaik dalam pembelaan anak guamnya. "Terpulang kepada mahkamah untuk memutuskan sama ada terdapat kebenaran dalam aduan Khalid. "Mempersoalkan motif peguam yang mewakili anak guam mereka langsung tidak mempunyai apa-apa kaitan dengan hak asasi manusia," katanya. Kia Soong turut mempersoalkan mengapa penyelewengan terhadap Khalid yang didakwa PKR dianggap cukup serius untuk menyingkirkan beliau sebagai menteri besar, tetapi tidak melayakkan dirinya untuk jawatan-jawatan lain seperti Penasihat Ekonomi Selangor jika beliau melepaskan jawatan dengan rela hati? "Kenapa dakwaan-dakwaan salah laku ini tidak dianggap cukup serius untuk sesiapa sahaja dalam PKR membuat laporan SPRM? Dan apa sebenarnya perlanggaran Khalid?. "Jika dakwaan tanpa sokongan boleh diambil kira sebagai sebab-sebab sebab untuk memecat pemimpin, maka pemimpin-pemimpin semua organisasi, termasuk NGO perlu lebih berhati-hati mulai sekarang," jelas beliau. Tambahnya Khalid berhak membuat rayuan kepada Pendaftar Pertubuhan (RoS) terhadap pemecatan PKR terhadapnya pada 9 Ogos lalu.