Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, pihak berkuasa sedang memastikan jenazah yang tidak boleh dibawa pulang pada Jumaat ini akan tiba dalam masa dua hari kemudian.
"Kita sedang melakukan persiapan bagi jenazah yang tidak tersenarai dalam 20 mangsa yang akan dibawa pulang pada Jumaat ini.
"Kita jangka kumpulan kedua akan tiba Ahad ini," katanya pada sidang media bersama di Kementerian Komunikasi dan Multimedia di sini, pada Rabu.
Hadir sama ialah Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Chee; Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim; Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, dan Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Jailani Johari.
Setakat ini, 28 rakyat Malaysia mangsa nahas MH17 telah dikenal pasti. Namun, lapan lagi jenazah belum mendapat perlepasan daripada pihak berkuasa Netherlands untuk dibawa pulang pada Jumaat ini.
Persediaan Pelaksanaan Istiadat Penerimaan Jenazah Warganegara Malaysia Tragedi MH17 pada Jumaat ini, yang diisytiharkan sebagai Hari Perkabungan Negara.
Beliau berkata semua anggota Dewan Rakyat daripada semua parti politik dijemput menghadiri istiadat penghormatan di Kompleks Bunga Raya, KLIA.
Katanya Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah memberi perkenan untuk berangkat menghadiri istiadat berkenaan.
Beliau berkata Sultan Perak Sultan Nazrin Shah dijangka berangkat pada majlis penerimaan jenazah di Ipoh, Perak.
Penerbangan MH17 terhempas di timur Ukraine pada 17 Julai ketika dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur membawa 283 penumpang dan 15 anak kapal. Pesawat Boeing 777-200 itu dipercayai ditembak jatuh di negara bergolak itu.
Selain 43 warga Malaysia, penumpang pesawat itu turut terdiri daripada warganegara Netherlands, Australia, Indonesia, United Kingdom, Jerman, Belgium, Filipina, Kanada dan New Zealand.