Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Sabah, Supt Saiman Kasran berkata pihak Bahagian Siasatan Jenayah Komersil, Ibupejabat Polis Daerah Kudat menahan kedua-dua lelaki terbabit yang berumur 38 dan 44 tahun di hospital itu.
"Hasil siasatan terhadap kedua-dua suspek, pihak polis telah menjumpai dan merampas satu cap Hospital Pitas, satu cap Pengarah Hospital Kota Marudu, satu cap peribadi Pengarah Hospital Pitas, dua cap Pegawai Perubatan Hospital Kota Marudu, satu cap Pembantu Tadbir Hospital Kota Marudu, dua cap Salinan Disahkan Benar dan satu Stamp Pad daripada kedua-dua suspek tersebut," katanya.
Saiman di dalam satu kenyataan hari ini berkata kedua-dua suspek kini ditahan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Keseksaan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 420/511 Kanun Keseksaan.
Saiman berkata tujuan pihak pengurusan Hospital Pitas membuat laporan itu kerana dikhuatiri cap-cap berkenaan akan disalahgunakan oleh pihak lain.
Di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan, seseorang itu boleh dihukum penjara antara setahun sehingga 10 tahun dan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.