GEORGE TOWN: Semua kenderaan dari tanah besar menuju ke pulau akan dihentikan seketika di Plaza Tol Jambatan Pulau Pinang untuk bertafakur selama seminit bagi menghormati jenazah mangsa tragedi pesawat MH17. Turut dihentikan dalam tempoh itu ialah semua transaksi di Plaza Tol Jambatan Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah di Batu Kawan. Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Pulau Pinang, Supt Ibrahim Abu Bakar berkata, tumpuan penugasan anggota trafik ialah di Plaza Tol Jambatan Pulau Pinang membabitkan pergerakan kenderaan dari arah Seberang Perai. "Kami minta pengguna jalan raya terlibat merancang perjalanan dalam tempoh itu," katanya ketika dihubungi pada Khamis. Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, dalam kenyataan media pada Rabu, meminta seluruh rakyat Malaysia meluangkan masa selama seminit untuk bertafakur sebaik sahaja 20 jenazah tragedi pesawat MH17 tiba di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Jumaat. Waktu bertafakur selama seminit bagi menghormati jenazah tragedi pesawat MH17 itu dijadual berlangsung bila-bila masa seawal 10.30 pagi Jumaat, bergantung kepada waktu ketibaan pesawat khas dari Amsterdam. Sehubungan itu, Ahmad Shabery memohon rakyat Malaysia agar peka dengan pengumuman waktu bertafakur yang akan dibuat melalui stesen radio dan televisyen tempatan. Sementara itu, Ibrahim berkata polis siap siaga dalam memastikan kelancaran trafik di beberapa lokasi yang dikenal pasti di Pulau Pinang bersempena hari perkabungan negara pada Jumaat. Beliau meminta kerjasama dan menasihati orang ramai supaya mematuhi arahan yang dikeluarkan petugas trafik dari semasa ke semasa. Pengurus Operasi Kanan Penang Bridge Sdn Bhd (PBSB) Asnor Ali pula berkata selain bertafakur di plaza tol itu, pihaknya akan mengadakan majlis bacaan doa dan surah Yasin membabitkan kakitangan PPSB. Sementara itu, Penolong Pengurus Perhubungan Awam dan Komunikasi Jambatan Kedua Sdn Bhd (JKSB), Azizi Azizan berkata, semua kenderaan yang menggunakan Jambatan Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah akan dihentikan selama satu minit di Plaza Tol Batu Kawan apabila masa perkabungan diumum. "Kami juga akan memaparkan ucapan takziah kepada mangsa nahas MH17 menerusi VMS (Variable Message System) sebagai ingatan kepada pengguna mengenai upacara itu," katanya ketika dihubungi. Jurucakap Feri Pulau Pinang pula berkata, satu pengumuman khas akan dibuat kepada penumpang secara serentak untuk meminta mereka berdiri dan bertafakur selama seminit menurut kepercayaan agama masing-masing. "Operasi feri berjalan seperti biasa dan kami turut menyarankan penumpang yang menaiki feri bersama kenderaan dapat keluar dan turut serta memberi penghormatan," katanya.