suria

MH17: Penantian Kian Berakhir, Waris Berdebar Menanti Detik Pagi Jumaat

Anggota tentera mengusung keranda ketika melakukan raptai Istiadat Penghormatan Jenazah Tragedi MH17 di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Khamis. -fotoBERNAMA

PETALING JAYA: Ahli Keluarga mangsa tragedi MH17 tidak dapat membayangkan saat-saat mereka perlu menerima jenazah insan tersayang yang ditunggu selama ini selepas ia dibawa pulang dari Belanda dalam satu istiadat dan suasana pilu pada Jumaat.

Ibu kepada pembantu juruterbang Ahmad Hakimi Hanapi, Noriah Daud, 57, berkata, mereka sekeluarga telah membuat persiapan untuk pengebumian anak lelakinya itu, namun tidak dapat menggambarkan perasaan apabila pesawat khas yang membawa jenazah Ahmad Hakimi selamat mendarat di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Jumaat.

"Yang pasti saya bersyukur sangat, mungkin waris lain belum tahu lagi nasib mereka, tetapi saya bersyukur kerana jenazah telah ditemui dan ia sempurna.

"Itu sahaja yang saya doa siang dan malam sejak kejadian itu menimpa anak saya," katanya ketika dihubungi mStar Online.

Noriah berkata, setelah lebih sebulan tragedi hitam itu berlaku, dia dan keluarganya kini lebih tabah dan dapat menerimanya sebagai satu ketentuan Ilahi.

"Saya reda. Sebagai hamba-Nya kita bukan ada kuasa pun untuk menghalang. 

Kimi bersama anak lelakinya, Abderrahman.
 

"Dia (Ahmad Hakimi) mati syahid, dikebumi hari Jumaat, meninggal pada bulan Ramadan, saya bersyukur," katanya.

Noriah berkata, mayat Ahmad Hakimi, atau lebih dikenali sebagai Kimi adalah mangsa dari Malaysia yang pertama dijumpai dan cukup sifat.

Katanya, perkara itu diketahui ketika dia sekeluarga diterbangkan ke Amsterdam minggu lalu setelah identiti mayat anaknya disahkan oleh Forensik Belanda.

"Kami bagaimanapun tak melihat mayatnya. Hanya lihat ia telah dimandikan dan dikafankan dengan sempurna. Cukuplah diberitahu ia cukup sifat.

"Sebaik tiba di sana, kami melakukan solat jenazah dan beberapa majlis tahlil," katanya yang berada di Amsterdam selama enam hari.

Mengenai persiapan menerima jenazah, jelasnya, tidak banyak yang dilakukan kerana kebanyakan perkara telah diuruskan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan MAS, termasuklah urusan pengebumian di tanah perkuburan di Presint 20, Putrajaya.

Namun, katanya, dia perlu pulang lebih awal berbanding ahli keluarga lain yang masih berada di Amsterdam untuk memaklumkan tentang pengebumian anaknya kepada saudara-mara dan rakan-rakan terdekat.

Dia juga mengucapkan terima kasih kepada kerajaan dan MAS kerana telah membantu dalam urusan membawa pulang dan pengebumian jenazah.

Sementara itu, abang kepada ketua pramugari MH17, Don Shahidan Kassim berkata dia amat terkejut apabila pada saat akhir menerima berita bahawa jenazah adiknya akan tiba pada Jumaat ini.

Pada Selasa, dia dimaklumkan bahawa jenazah adiknya, Dora Shahila tidak dapat dibawa pulang pada Jumaat atas faktor penjenayahan terhadap mayat dan seluruh ahli keluarganya akur dengan khabar menyedihkan itu.

Namun, pada tengah hari Rabu, wakil MAS telah menghubunginya semula dan memaklumkan bahawa jenazah Dora Shahila telah diberi pelepasan oleh pihak Belanda untuk dibawa pulang.

Bersykur dengan berita itu, beliau bagaimanapun masih tidak dapat menarik nafas lega selagi jenazah adiknya tidak berada di depan matanya.

"Saya memang bersyukur, tetapi dalam masa yang sama rasa takut.

"Selagi tak sampai sini, selagi saya tak nampak kerandanya, saya tak berani nak cakap apa-apa selepas apa yang keluarga saya telah lalui," katanya yang menganggap setiap kerumitan yang menimpa keluarganya sejak berlakunya tragedi ini sebagai satu ujian.

Katanya, seramai lapan ahli keluarga terdekat, termasuk anak tunggal mangsa yang berusia 15 tahun akan hadir ke KLIA pada Jumaat, untuk menerima jenazah Dora Shahila yang akan dikebumikan di Masjid At-Taqwa, Taman Tun Dr Ismail.

Jelasnya, dia kini sedang menguruskan beberapa urusan kecil berkaitan pengebumian termasuklah memaklumkan kepada saudara mara, menyediakan air mawar dan sebagainya.

Seorang lagi waris anak kapal MH17, Ahmad Reza Abdullah yang juga bapa saudara kepada Nur Shazana Mohamed Salleh, 31, berkata, mereka dan beberapa saudara terdekat akan hadir ke KLIA untuk menatap jenazahnya buat kali terakhir.

"Kami akan bertolak ke Kuala Lumpur. Syukur kerana jenazah Shazana antara yang dibawa pulang. Kami juga mendoakan agar segala urusan perjalanan membawa balik jenazah dipermudahkan," katanya.

Nur Shazana Mohamed Salleh.


Ketika ditanya sama ada jenazah Nur Shazana akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Selatan, Presint 20 , Putrajaya, Ahmad Reza berkata, dia belum dimaklumkan mengenai perkara itu.

"Kami belum lagi diberitahu mengenainya. Apa-apa kena dapat pengesahan daripada ibu bapa Shazana dahulu. Lagipun mereka masih lagi berada di Amsterdam," katanya.

Terdahulu, Timbalan Pengarah Kanan Bahagian Perkhidmatan Komuniti Jabatan Perkhidmatan Bandar Perbadanan Putrajaya (PPj), Zailani Hashim mengesahkan dua jenazah mangsa tragedi MH17 akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Selatan, Presint 20, Putrajaya.

Mangsa tersebut ialah Nur Shazana dan pembantu juruterbang, Ahmad Hakimi Hanapi, 29.

Kedua-dua jenazah akan dibawa ke Masjid Sultan Mizan Zainal Abidin (MSMZA) selepas tiba di Kompleks Bunga Raya, KLIA dari Amsterdam, Belanda.

Kumpulan pertama mangsa warganegara Malaysia yang melibatkan 20 jenazah dijadual tiba di Kompleks Bunga Raya, KLIA, kira-kira pukul 10 pagi, Jumaat.

Penerbangan MH17 terhempas di timur Ukraine pada 17 Julai ketika dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur membawa 283 penumpang dan 15 anak kapal. Pesawat Boeing 777-200 itu dipercayai ditembak jatuh di negara bergolak itu.

Selain 43 warga Malaysia, penumpang pesawat itu turut terdiri daripada warganegara Netherlands, Australia, Indonesia, United Kingdom, Jerman, Belgium, Filipina, Kanada dan New Zealand.

waris MH17, Ahmad Hakimi, Don Shahila

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain