suria

Perbicaraan Kes Pencerobohan Lahad Datu Berhenti Seminit Untuk Bertafakur

KOTA KINABALU: Perbicaraan 30 individu yang didakwa atas pelbagai pertuduhan berkaitan pencerobohan di Lahad Datu Februari tahun lepas dihentikan seminit bagi memberi penghormatan kepada Hari Perkabungan Negara untuk mangsa tragedi MH17 hari ini.

Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Abdul Wahab Mohamed dengan nada sedih membuat permohonan itu pada pukul 10.35 pagi tadi kepada mahkamah supaya perbicaraan yang bermula sejak pukul 9.00 pagi itu dihentikan seketika bagi memberikan penghormatan kepada mangsa tragedi itu.
 
"Yang Arif, tiada siapa mahu perkara ini berlaku...untuk ini, saya memohon kita semua bersatu, bertafakur selama seminit untuk mangsa tragedi MH17," katanya.

Hakim Stephen Chung, yang mengendalikan perbicaraan itu di Jabatan Penjara Sabah di sini, mengangguk bersetuju dan berdiri sambil diikuti mereka yang hadir termasuk 30 tertuduh.

Selepas selesai bertafakur, Abdul Wahab mengucapkan terima kasih kepada mahkamah dan prosiding disambung semula dengan saksi ke-34 perbicaraan, Pegawai Cawangan Khas Bukit Aman, ASP Nursaffree Ramli menyambung keterangannya.

Tertuduh, terdiri daripada 27 warga Filipina dan tiga penduduk tempatan, dibicarakan bagi pelbagai tuduhan termasuk menganggotai kumpulan pengganas atau melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong, merekrut anggota untuk kumpulan pengganas atau secara sukarela melindungi individu yang mereka tahu menjadi anggota kumpulan pengganas.
MH17, Lahad Datu

Artikel Lain