Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohamed Azmin Ali berkata, buat masa ini isu calon alternatif tidak seharusnya dibincangkan sebelum Sultan Sharafuddin mengeluarkan titah berhubung perkembangan di Selangor.
"Kita telah mendapat majoriti, jadi sekarang terpulanglah kepada kebijaksanaan tuanku sultan melihat semua dokumentasi untuk membuat keputusan.
"Bagi saya kita perlu menghormati proses dan terpulang kepada tuanku untuk ambil keputusan dalam masa terdekat," katanya ketika ditemui pada Kongres Nasional PKR ke-10 di sini, Sabtu.
Jelas beliau, memadai dengan 30 SD yang dipersembahkan kepada Sultan Selangor sebelum ini yang ditandatangani 13 wakil rakyat PKR, 15 daripada DAP dan dua lagi daripada PAS.
Berhubung dakwaan kononnya PAS akan menghantar surat berasingan kepada Sultan Selangor bagi menamakan calon lain selain Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Azmin menolak khabar angin itu.
"Itu dakwaan tidak berasas kerana Jawatankuasa PAS Pusat telah ambil ketetapan yang cukup jelas dan tegas iaitu yang pertama untuk kekal dalam Pakatan Rakyat.
"Keduanya mereka tak akan tuntut kerusi menteri besar dan kekalkan di tangan PKR serta bersetuju untuk menukar Tan Sri Khalid dengan Dr Wan Azizah...itu sangat jelas," katanya.