SHAH ALAM: Exco Angkatan Muda Keadilan (AMK) pada Ahad sebulat suara berikrar menyatakan sokongan terhadap kepimpinan ketuanya yang baharu, Nik Nazmi Nik Ahmad. Sokongan itu dizahirkan dua hari selepas Nik Nazmi dimalukan oleh exconya sendiri yang bertindak keluar dewan selepas beliau diumumkan menang jawatan ketua sayap PKR itu. Timbalan Ketua AMK, Dr Afif Bahardin berkata, beliau memuji tindakan pantas Nik Nazmi yang berjaya menyelesaikan masalah dalaman AMK dengan pantas. "Saya dan semua exco ingin menzahirkan kepercayaan kami kepada kepimpinan Nik Nazmi untuk memimpin AMK ke tahap yang lebih baik dan cemerlang," katanya pada sidang media selepas berakhirnya Kongres Nasional PKR ke-10 di sini, Ahad. Jumaat lalu, 16 Exco AMK bertindak keluar dewan persidangan sejurus Nik Nazmi diumumkan menang jawatan Ketua AMK. Kumpulan berkenaan mendakwa tindakan itu sebagai tanda protes terhadap keputusan pemilihan yang tidak memihak kepada seorang lagi calon Ketua AMK, Amirudin Shari. Pada pemilihan AMK baru-baru ini Nik Nazmi mengalahkan Amirudin dengan majoriti 250 undi. Nik Nazmi memperoleh 4,509 undi sementara Amirudin mendapat 4,259 undi. Sementara itu Nik Nazmi pada sidang media yang sama berkata, beliau dan exconya bersetuju supaya isu yang dibangkitkan berkaitan pemilihan baru-baru ini akan dibincangkan mengikut saluran dalaman parti.