suria

MH17: Lebih Seribu Hadir Solat Jenazah Mohd Ghafar

KUALA LUMPUR: Lebih 1,000 jemaah menunaikan solat jenazah penyelia penerbangan kabin pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH17, Allahyarham Mohd Ghafar Abu Bakar di Masjid Taman Indah, Ampang di sini, pada Ahad.

Jenazah Allahyarham yang dibawa ke masjid itu pada 10.14 pagi dari kediamannya di Taman Bukit Indah, disambut beberapa anggota 8 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) sebelum diusung beberapa kakitangan MAS dan disembahyangkan pada 10.28 pagi.

Dua orang anaknya Ammar Syarif, 25, dan Afi Hazim, 14, bersama bapa saudara mereka Luqman Abdullah, 49, turut berada di saf hadapan untuk solat jenazah yang diimamkan Imam I Masjid Negeri, Shah Alam, Mohd Hata Ahmad.

Turut bersolat jenazah ialah Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Othman Mustapha dan Ketua Umno Bahagian Ampang, Datuk Ismail Kijo.

Pada 10.44 pagi, jenazah Mohd Ghafar diusung keluar oleh beberapa kakitangan MAS sambil orang ramai berebut-rebut menyentuh keranda Allahyarham sebagai tanda penghormatan terakhir kepada mangsa sebelum dibawa masuk ke dalam van jenazah.

Jenazah kemudiannya dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Mukim Ampang Satu, Taman Kosas untuk dikebumikan di situ.

Jenazah Mohd Ghafar, 54, yang tiba pagi tadi dari Amsterdam dibawa dari Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) ke rumah keluarganya dan tiba 9.50 pagi.

Seawal 8.30 pagi kawasan kediamannya mula dipenuhi kenalan dan jiran tetangga yang datang untuk menziarahi arwah.

Allahyarham meninggalkan seorang isteri Normi Abdullah, 54, dan tiga anak - Sa'imah Baizura, 29, Ammar Syarif dan Afi Hazim yang juga anak kurang upaya (OKU).

Allahyarham antara tiga lagi mangsa tragedi MH17 yang dibawa pulang pada Ahad selepas 20 jenazah dibawa pulang Jumaat lepas.

Pesawat MH17, dengan 298 penumpang dan anak kapal termasuk 43 warga Malaysia, terhempas di timur Ukraine pada 17 Julai ketika dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur.

Pesawat Boeing 777-200 itu ditembak jatuh di zon bergolak itu namun sehingga kini tiada pihak mengaku bertanggungjawab.


MAS, MH17, Abdul Ghafar Abu Bakar

Artikel Lain