suria

Wanita Ditahan Buang Janin

Lokasi di mana seorang wanita didakwa membuang janin.
KUALA LUMPUR: Polis menahan seorang wanita bertubuh kecil yang didakwa membuang janin di belakang Apartment Julia di Bandar Baru Selayang.

Pasukan forensik polis tiba di tempat kejadian kira-kira pukul 10.50 malam Sabtu.

Wanita itu, dikatakan berusia lingkungan 20-an memakai topeng ketika membawa polis ke tapak di mana dia didakwa menanam janin tersebut.

Dia dibawa ke balai polis semula untuk membantu siasatan selepas janin itu dijumpai.

Seorang penduduk yang tidak mahu dikenali berkata wanita itu telah berkahwin dan mempunyai dua orang anak berusia di antara dua dan lima tahun.

"Dia tinggal bersama suami dan anak-anak di tingkat satu tetapi tidak banyak yang diketahui tentang mereka," tambahnya.

Wanita itu dikatakan telah mengambil ubat untuk mendorong keguguran kerana keluarganya tidak mampu untuk menyara anak ketiga.

Dipercayai janin telah ditanam selepas berlaku keguguran di bilik mandi kediamannya dua minggu lalu.

Ketika dihubungi, Ketua Polis Daerah Gombak ACP Ali Ahmad mengesahkan laporan yang telah dibuat, dan siasatan masih dijalankan.
janin, buang janin, keguguran

Artikel Lain