suria

MH17: 24 Jenazah Mangsa Dibawa Pulang Ke Tanah Air - Rohani

Isteri mangsa tragedi MH17 Loo Pea Boon (dua, kiri), meletakkan sekuntum bunga di atas keranda mendiang suaminya, Foo Ming Lee sebelum upacara pembakaran di Nirvana Memorial Park Shah Alam, pada Ahad.
PUTRAJAYA: Dua puluh empat mangsa tragedi pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 telah dibawa pulang ke Malaysia sehingga Ahad dengan dua daripadanya tidak didedahkan identiti atas permintaan keluarga. 

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani AbdulKarim berkata 20 jenazah tiba di Malaysia pada 22 Ogos, satu jenazah pada Sabtu (23 Ogos) dan tiga semalam (Ahad). 

Pada Jumaat, kumpulan pertama 20 jenazah melibatkan 11 penumpang dan sembilan anak kapal dibawa pulang dari Amsterdam dengan sebuah pesawat khas dan diberi penghormatan mengikut adat istiadat tentera di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA), Sepang. 

Pada Isnin, jenazah penyelia penerbangan kabin MAS, Mohd Ghafar Abu Bakar dan pensyarah Universiti Malaysia Sabah, Ng Shi Ing turut diberi penghormatan dalam istiadat serupa. 

Bercakap dalam sidang media selepas menghadiri majlis perhimpunan bulanan kementeriannya pada Isnin, Rohani berkata kerajaan perlu menghormati permintaan mana-mana waris yang mahu identiti mangsa dan kepulangan jenazah dirahsiakan. 

"Syukur kerana urusan istiadat penghormatan dan pengebumian jenazah berjalan lancar dan mendapat kerjasama sepenuhnya daripada semua pihak khususnya anggota keluarga," katanya. 

Rohani berkata kebanyakan kaum keluarga menerima nasihat supaya keranda mangsa tidak dibuka. "Emosi keluarga juga semakin baik. Kaunseling juga masih diberikan kepada yang memerlukan termasuk kepada waris mangsa yang telah dikebumikan," katanya. 

Terdahulu dalam ucapannya pada perhimpunan itu, Rohani berkata sebagai kementerian yang bertanggungjawab menguruskan anggota keluarga, mereka perlu bijak mengendalikan keadaan. 

"Tugas untuk bertanya satu persatu waris, bagaimana jenazah hendak diuruskan, di mana hendak dikebumikan, nak terlibat istiadat atau tidak.

Pelbagai persoalan bertalu-talu yang kita tidak dapat jawab, tapi kita bersungguh-sungguh membantu," katanya. 

Mengakui dirinya seorang yang mudah mengalirkan air mata, apa lagi apabilaperlu berdepan dengan anggota keluarga mangsa, beliau tetap komited meneruskan tugas supaya proses menyampaikan berita itu dapat dijalankan dengan baik. 

Rohani berkata sijil kematian kru dan penumpang bagi jenazah yang dibawa pulang ke Malaysia, telah dikeluarkan Kementerian Kesihatan dengan kerjasama Jabatan Pendaftaran Negara. 

Penerbangan MH17, yang membawa 289 penumpang termasuk 15 anak kapal, dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur ketika terhempas di timur Ukraine,pada 17 Julai.    

Ia ditembak jatuh namun sehingga kini tiada pihak mengaku bertanggungjawab. Sebanyak 43 rakyat Malaysia terbunuh dalam insiden itu.
MH17, 24 jenazah

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain