suria

Banduan Bergelut Merdekakan Diri Dari Balik Tirai Besi

Kelihatan seorang banduan wanita berusia 30 tahun, (baju, hijau) bersama dua anaknya berusia 3 dan 11 tahun serta ayahnya yang enggan dikenali (kanan) memotong kek bagi menyambut hari kelahiran kedua-dua anaknya pada program Jalinan Kasih sempena Aidilfitri di Penjara Alor Setar, Alor Setar.

ALOR SETAR: Merdeka bukan sahaja bererti membebaskan diri daripada penjajah, malah melepas serta membawa diri keluar daripada lingkaran hidup yang membinasakan seperti melakukan jenayah.

Menjadi penghuni penjara adalah pengalaman paling menyukarkan, tambahan stigma masyarakat yang pelbagai terhadap banduan, memaksa mereka bergelut untuk memperbaiki diri dan melupakan perbuatan jenayah yang telah membawa mereka ke tembok batu bertirai besi itu.

Bagi penghuni penjara Alor Setar di sini, dikenali sebagai Nurul, 30, untuk memerdekakan diri sepenuhnya daripada kegiatan jenayah lampau, penjara adalah satu hukuman yang sangat berbaloi.

"Saya berusaha untuk merdekakan diri saya sendiri iaitu untuk bebas daripada cengkaman dadah semasa di penjara. Saya menyesal atas perbuatan saya ini walaupun hasil jualan dadah amat lumayan tetapi ia hanyalah bersifat sementara," katanya ketika ditemui Bernama di Penjara Alor Setar di sini.

Nurul yang terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah pada 2012 di sekitar daerah Kubang Pasu dikenakan hukuman penjara lima tahun selepas didapati bersalah memiliki dadah jenis heroin seberat 200 gram.

Nurul yang merupakan ibu kepada dua anak berusia tiga dan 11 tahun itu berkata erti penyesalan mula timbul selepas dia ditahan polis pada Mac 2012 di rumahnya di Jitra dan terpaksa berpisah dengan dunia luar selama lima tahun.

Katanya paling menyedihkan apabila dia terpaksa berpisah dengan suami serta dua anaknya yang masih kecil bagi menjalani hukuman atas perlakuan jenayah yang dilakukannya.

Walaupun sedar dadah itu musuh negara, pengaruh rakan dan inginkan kemewahan hidup dalam tempoh singkat mendorong dirinya untuk terjebak dalam kancah jenayah itu, katanya.

"Selepas dibebaskan nanti saya tidak mahu kembali kepada perbuatan jenayah. Di penjara saya belajar pelbagai kemahiran seperti membuat kek dan saya akan membuka perniagaan menjual kuih dan kek bagi mendapatkan duit yang halal untuk keluarga.

"Terima kasih kepada pihak penjara yang mengajar saya erti kehidupan sebenar. Saya kini lebih tahu hal agama dan tidak mahu mengulangi kesilapan lepas," katanya.

Seorang lagi banduan, Salahudin, 40, berkata pengertian merdeka baginya adalah untuk bebas daripada ketagihan dadah yang menyebabkannya terpisah dengan anak serta isteri untuk tempoh dua tahun.

Dia yang berasal dari Perlis dan bekerja sendiri berkata sebelum ini dia bebas untuk melakukan apa sahaja hingga terlupa perbuatan jenayah yang dilakukannya itu salah di sisi undang-undang.

Katanya menjalani hukuman di penjara membantu dirinya untuk memerdekakan diri sepenuhnya daripada dadah dan mengajarnya untuk menjadi insan yang lebih baik agar diterima oleh masyarakat selepas dibebaskan nanti.

"Syukur Alhamdulillah di penjara ini banyak mengajar saya erti kehidupan dan selepas ini saya tak akan mengabaikan keluarga saya disebabkan perbuatan jenayah yang dilakukan sebelum ini," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain