suria

Pemuda Umno Sokong Pramugari MAS Tutup Aurat

Khairy Jamaluddin.
KUALA LUMPUR: Pemuda Umno pada Selasa menyambut baik cadangan supaya pekerja wanita syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) memakai pakaian yang menutup aurat ketika bertugas.

Ketuanya, Khairy Jamaluddin berkata cadangan tersebut sepatutnya dikemukakan kepada pihak pengurusan MAS untuk tindakan selanjutnya.

"Kita menyambut baik cadangan supaya pekerja wanita MAS memakai pakaian yang menutup aurat," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco Pemuda Umno di Menara Dato Onn pada Rabu.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas cadangan Exco Pemuda Umno, Dazma Shah Daud agar, pengurusan baharu MAS memberi kelonggaran atau mewajibkan pramugari beragama Islam memakai tudung dan menutup aurat.

Sebelum ini, Dazma Shah dilaporkan berkata, sudah banyak syarikat penerbangan seperti Royal Brunei Airlines, Saudi Airlines dan Iran Air mewajibkan pramugari mereka memakai tudung dan ia terbukti tidak menjejaskan reputasi syarikat penerbangan tersebut.

Dalam perkembangan lain, Khairy yang juga Ahli Parlimen Rembau berkata, sayap Pemuda Umno akan mengadakan kempen derma darah untuk rakyat Palestin di Gaza.

Beliau berkata, kempen tersebut akan diadakan di seluruh negara dan tarikhnya akan diberitahu kemudian.

"Bekalan darah yang kita perolehi daripada kempen ini akan dihantar ke Gaza selepas mendapat kebenaran untuk masuk ke Palestin," katanya. 


Pemuda Umno, MAS, tudung, Gaza

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain