suria

Apo Kahumbo Suspek Dalang Kes Culik Dikait Abu Sayyaf Ditahan

Apo Kahumbo.
KOTA KINABALU: Seorang ketua kumpulan terkenal, dipercayai salah seorang dalang di sebalik beberapa insiden penculikan rentas sempadan yang mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas Abu Sayyaf ditahan di selatan Filipina.

Lelaki itu, dikenali sebagai Apo Kahumbo yang menjalankan operasi dari Pulau Tawi-Tawi merupakan individu yang dikehendaki oleh kedua-dua polis Filipina dan Malaysia sejak beberapa tahun.

Dia bersama kumpulan lelaki bersenjatanya turut mempunyai kaitan dengan satu lagi kumpulan penculik terkenal, yang diketuai oleh Muktadil bersaudara, yang dikenal pasti oleh polis Malaysia sebagai bertanggungjawab terhadap kes penculikan di Sabah, baru-baru ini.

Polis Kebangsaan Filipina Tawi Tawi, Kol Joey Salido memberitahu The Star bahawa Kahumbo ditahan pada awal Selasa dalam satu operasi bersepadu melibatkan beberapa agensi keselamatan di salah sebuah pulau di Tawi Tawi, kira-kira kurang setengah jam menerusi perjalanan menggunakan bot dari pantai timur Sabah.

Pegawai keselamatan, berkata Kol Salido, yang sedang mengenal pasti latar belakang lelaki berkenaan, termasuk asalnya, umur dan lelaki bersenjata di dalam kumpulannya.

Beliau berkata, Kahumbo ditahan oleh pasukan keselamatan Filipinan di wilayah Bongao di Tawi Tawi.

Bagaimanapun, beliau enggan mengulas mengenai bagaimana dan di mana sebenarnya Kahumbo ditahan, selain menyatakan bahawa individu itu dikehendaki untuk disoal siasat.

"Kita turut mahu mengesahkan sama ada dia bertanggungjawab terhadap beberapa kes penculikan di Filipina dan Sabah, atau tidak," katanya, sambil menambah bahawa Kahumbo akan didakwa di mahkamah sekiranya terdapat bukti kukuh.

Menurut sumber risikan dari Malaysia, Kahumbo turut dikenali sebagai Mubin Halil.

Sumber itu berkata, Kahumbo mungkin turut bertanggungjawab terhadap serangan terbaharu di Pulau Mabul, apabila kumpulan lelaki bersenjata Filipina menembak mati Polis Marin, Koperal Abdul Rajah Jamuan, 32, dan menculik rakannya, Konstabel Zakiah Aleip, 26, dari Mabul Water Bungalows Resort pada 12 Julai.

Menurut sumber, Kahumbo merupakan salah seorang dalang yang bertanggungjawab terhadap beberapa kes penculikan di Semporna, Lahad Datu dan Kunak sejak awal tahun ini.

Sumber risikan Filipina berpangkalan di Bandar Zamboanga berkata, Kahumbo merupakan seorang anggota Abu Sayyaf berpangkalan di Tawi Tawi di mana mangsa culik biasanya akan dibawa ke kubu kuat Abu Sayyaf di Pulau Jolo.

Mereka percaya Kahumbo memimpin sebuah kumpulan yang dianggotai lapan lelaki bersenjata, yang hanya dikenal pasti sebagai Amilbangsa, Roslam, Tamsi, Seahorse, Abrasar, Adunay, Nikson dan Darwin.

"Kahumbo merupakan kumpulan berasaskan puak. Kebanyakan anggota mereka adalah saudara-mara," kata sumber itu.

Abu Sayyaf, Apo Kahumbo

Artikel Lain