suria

Buat Pertama Kali Amanat Merdeka PM Secara Terbuka, Langsung - Shabery Cheek

KUALA LUMPUR: Amanat Merdeka yang akan disampaikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak secara terbuka dan langsung buat pertama kalinya pada malam ambang kemerdekaan merupakan antara kelainan utama sambutan Hari Kemerdekaan negara ke-57.


Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, penyampaian amanat itu akan dibuat di Dewan Tunku Abdul Rahman, Pusat Pelancongan Malaysia (MaTic), Jalan Ampang, di sini pada 30 Ogos.

Katanya, perdana menteri akan menyampaikan amanat itu di hadapan para pemimpin masyarakat, wakil badan bukan kerajaan serta wakil-wakil pelajar yang akan berkumpul di dewan berkenaan, dan acara itu disiarkan secara langsung menerusi radio dan televisyen.

"Sebelum ini penyampaian amanat merdeka yang dibuat perdana menteri dirakamkan sebelum disiarkan dan ia bersifat formal. Oleh kerana itu pada tahun ini kita membawa kelainan.

"Pada sambutan kali ini perdana menteri akan berucap di hadapan wakil-wakil masyarakat secara langsung untuk menyampaikan isi kandungan amanatnya," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas meninjau persiapan untuk acara di dewan itu, Khamis.

Ahmad Shabery berkata, pemilihan dewan berkenaan yang boleh memuatkan sekitar 400 tetamu sebagai venue untuk acara penyampaian amanat itu adalah sangat signifikan dengan tema sambutan kali ini iaitu 'Malaysia - Di Sini Lahirnya Sebuah Cinta'.

Katanya, walaupun mempunyai dewan lain yang lebih besar namun Dewan Tunku Abdul Rahman itu 'melahirkan' seribu satu permulaan terhadap dasar dan prinsip kenegaraan negara.

"Dewan ini sangat signifikan kerana sejarahnya di sinilah persidangan Parlimen yang pertama diadakan selepas merdeka dan di sinilah tiga Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ditabalkan.

"Dan juga di sinilah banyak melahirkan keputusan-keputusan yang penting dan menjadi asas kepada pembinaan dan pembangunan negara yang ada sekarang. Sebenarnya di sinilah lahirnya sebuah cinta," katanya.

Sambutan Hari Kemerdekaan negara pada tahun ini lebih istimewa berbanding sambutan sebelum ini sesuai dengan sambutannya yang memasuki kali ke-57 bersamaan dengan tahun negara mencapai kemerdekaan iaitu pada 1957.

Ahmad Shabery juga berkata, acara sambutan Hari Kemerdekaan kali ini turut akan disesuaikan dengan penghormatan terhadap tragedi pesawat Malaysia Airlines MH17 dan MH370 yang memberi kesan mendalam terhadap rakyat negara ini.

Katanya, ini termasuk membatalkan acara tradisi Ambang Merdeka seperti hiburan dan pertunjukan bunga api.

Bagaimanapun Ahmad Shabery berkata, walaupun rakyat Malaysia berasa hiba dengan kedua-dua tragedi itu, namun mereka diminta untuk tidak terus bermurung sebaliknya meneruskan semangat kemerdekaan.

"Rakyat mesti digerakkan hatinya, rakyat mesti dilihat mampu untuk bangkit berdiri, mengibarkan bendera dan menunjukkan semangat untuk meneruskan kehidupan dengan lebih baik lagi," katanya.

Turut menyertai Ahmad Shabery melawat dewan itu termasuk Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi, Pengurus Besar Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Yong Soo Heong, Ketua Pengarang Bernama Datuk Zulkefli Salleh dan Timbalan Ketua Pengarang (Perkhidmatan Berita Dalam Negeri) Bernama Datuk Zakaria Abd Wahab.

Sebanyak 283 penumpang dan 15 anak kapal penerbangan MH17 dari Amsterdam ke Kuala Lumpur terbunuh apabila pesawat itu ditembak jatuh di timur Ukraine pada 17 Julai.

Penerbangan MH370 pula yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal yang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac, hilang kira-kira sejam selepas berlepas dan dipercayai berakhir di selatan Lautan Hindi. 


Artikel Lain