suria

57 Pelajar Pendidikan Khas Hasilkan Jalur Gemilang 57 Meter

KOTA BAHARU: Seramai 57 pelajar Pendidikan Khas, Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Mas, di sini, mencipta sejarah tersendiri apabila mereka berjaya melakar, mewarna, mencantum dan menjahit Jalur Gemilang sepanjang 57 meter.


Penolong Kanan SK Tanjung Mas, Zaidee Jusoh berkata, projek itu dikendalikan pelajar istimewa daripada pelbagai kategori seperti sindrom down, celebral palsy, lembam, hiperaktif dan autisme.

"Sejak empat hari lepas, murid pendidikan khas sama-sama berganding bahu dengan guru pelatih dan guru kami menyiapkan Jalur Gemilang ... dan berjaya disiapkan sepenuhnya hari ini," katanya kepada pemberita di sini, Khamis.

Katanya, kerja-kerja menyiapkan Jalur Gemilang yang menjadi kebanggaan murid dan semua guru itu dihasilkan secara gotong-royong membabitkan lima kumpulan pelajar khas dengan dianggotai 10 pelajar dalam setiap kumpulan.

Katanya, dengan bantuan 17 guru dan lima pembantu pengurusan murid dan dua guru pelatih Institut Pendidikan Guru Kampus Kota Baharu, Jalur Gemilang sepanjang 57 meter itu berjaya disiapkan seperti dirancang.

Jalur Gemilang berkenaan akhirnya berjaya dinaikkan di sekolah itu sebelum disempurnakan Ketua Unit Pendidikan Khas Jabatan Pelajaran Negeri Kelantan, Mohd Azahar Zahari.

Zaidee berkata, projek menyiapkan Jalur Gemilang itu bukan hanya dapat memupuk semangat cintakan Jalur Gemilang dalam kalangan pelajar pendidikan khas tetapi dapat meningkatkan kemahiran dan kreativiti pelajar istimewa itu melalui terapi visual yang dilakukan.

"Kegiatan itu juga akan memberi kefahaman yang lebih mendalam dalam kalangan murid pendidikan khas mengenai simbol dan warna Jalur Gemilang," katanya.


Pendidikan Khas, Jalur Gemilang

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain