suria

Malaysia Tandatangani MoU Dengan Australia Berhubung Usaha Carian MH370

Datuk Seri Liow Tiong Lai bersama Warren Truss.
CANBERRA: Malaysia telah menandatangani satu memorandum persefahaman (MoU) dengan Australia untuk mengukuhkan kerjasama dalam usaha mencari pesawat penerbangan MH370 yang hilang.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai yang mengetuai delegasi Malaysia di sini menandatangani M0U dengan Timbalan Perdana Menteri Australia Warren Truss pada Khamis.

"MoU ini ditandatangani untuk memperkukuhkan lagi kerjasama dan komitmen untuk mencari pesawat tersebut," kata Liow.

Beliau menyatakan dengan jelas bahawa MH370 kekal menjadi keutamaan bagi kerajaan Malaysia.

"Meneruskan carian kekal sebagai fokus kami. 

"Kami telah mengekalkan tekad dalam usaha mencari pesawat," katanya. 

Truss juga menandatangani MoU dengan Timbalan Menteri Luar Datuk Hamzah Zainuddin berhubung ahli keluarga dan waris pnumpang dan anak kapal yang berada dalam penerbangan MH370.

Pesawat MAS, penerbangan MH370 yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal meninggalkan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada pukul 12.41 tengah malam pada 8 Mac dan hilang dari skrin radar kira-kira sejam kemudian ketika terbang di Laut China Selatan. Ia dijadualkan tiba di Beijing pada pukul 6.30 pagi pada hari yang sama.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 24 Mac, 17 hari selepas kehilangan pesawat mengumumkan bahawa pesawat berakhir di Lautan Hindi.

Artikel Lain