KULAIJAYA: Jumlah pekerja asing yang ditahan polis berhubung insiden rusuhan di sebuah kilang di Taman Perindustrian Kelapa Sawait di sini meningkat kepada 49 orang. Ketua Polis negeri, Datuk Mokhtar Mohd Shariff berkata, 47 warga Nepal dan dua warga Bangladesh ditahan kerana merusuh dan polis akan terus mengenal pasti dan menahan mereka yang terlibat dalam insiden pada Selasa lalu. "Kita tidak akan teragak-agak untuk menahan pekerja asing lain yang menyebabkan gangguan awam dan kerosakan terhadap sebarang harta di sini," katanya ketika ditemui pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan pihak pengurusan syarikat itu di sini, Khamis. Polis menahan seramai 44 pekerja asing setakat petang Rabu. Dalam kejadian itu, kira-kira 800 pekerja asing mengadakan mogok bermula pukul 9 pagi termasuk membakar kereta milik seorang pengurus kilang dan merosakkan bangunan kilang berkenaan.