PUTRAJAYA: Pendaftar Pertubuhan (ROS) tidak mempertikaikan tindakan Parti Keadilan Rakyat (PKR) memecat Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, kata Datuk Dr Tan Kee Kwong. Itu adalah reaksi awal Pengerusi Lembaga Disiplin PKR ketika ditemui selepas mengadakan pertemuan dengan pegawai penguatkuasa ROS, selama kira-kira dua jam pada Khamis. "Pegawai penguatkuasa tidak mempertikaikan tindakan pemecatan Khalid. Sudah tentu, pemecatan beliau dibuat mengikut prosedur," katanya kepada pemberita di sini. Mengenai pemecatan Khalid tanpa melalui sesi penjelasan Lembaga Disiplin parti, kata Kee Kwong, perkara itu juga tidak dipertikaikan ROS. Beliau juga menegaskan, tindakan memecat Khalid itu dilakukan mengikut prosedur dan tidak bercanggah dengan Seksyen 66, Akta Pertubuhan 1966. "Khalid diberi masa tiga minggu untuk bertemu dengan Presiden PKR, Datuk Dr Wan Azizah Wan Ismail sebelum tarikh pemecatannya bagi menyelesaikan kemelut politik Selangor secara baik. "Bagaimanapun, ruang yang diberikan itu tidak digunakannya, sebaliknya beliau ada masa berjumpa Nik Aziz (Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat), menghadiri jamuan Aidilfitri Datuk Seri Noh Omar (Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor), tetapi tidak boleh datang untuk berjumpa Presiden parti dan menghadiri sesi penjelasan berhubung kes disiplinnya," katanya. Menjelaskan lanjut, Kee Kwong berkata, beliau hadir bagi memberi penjelasan berhubung pemecatan Khalid selepas aduan mengenai perkara itu dihantar Khalid menerusi peguamnya diterima ROS. "Ya, saya datang kerana ROS terima aduan (daripada Khalid)," katanya. Malahan, beliau membidas tindakan Khalid mengemukakan aduan itu, sedangkan suratnya kepada parti menyatakan beliau menerima keputusan PKR untuk memecatnya. Kee Kwong turut menyerahkan dokumen komposisi Lembaga Disiplin PKR dan buku kehadiran Jawatankuasa Pusat PKR yamg hadir semasa keputusan memecat Khalid dibuat. Pada masa sama, beliau berkata, isu pembatalan PKR sebagai sebuah parti juga tidak dibangkitkan dalam pertemuan itu. "Tidak ada...isu itu tidak dibincangkan," katanya.