SUNGAI SIPUT: Dua beradik hilang dan dikhuatiri lemas ketika mandi bersama-sama rakan mereka di Sungai Perak berhampiran Batu Musafat, Bekut di sini semalam dan usaha mencari diteruskan, Jumaat. Meor Mohamad Izzat Meor Mazinun, 13, dan Meor Mohammad Fahmi, 11, dilaporkan mandi di sungai itu sebelum disedari hilang pada pukul 5 petang. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Siput, Zul Azman Jamaluddin berkata, usaha pencarian yang disambung pada sebelah pagi masih diteruskan dengan bantuan Unit Scuba dan Unit Anjing Pengesan (K9) Bomba. "Operasi mencari dijalankan dalam jarak dua kilometer dari kawasan kejadian ke arah hilir sungai. Sekiranya mereka tidak dijumpai sehingga esok, kami akan luaskan kawasan operasi," katanya ketika ditemui pemberita di pusat operasi kejadian di sini, Jumaat. Sebanyak 142 anggota pelbagai agensi termasuk Jabatan Pengairan dan Saliran, Jabatan Pertahanan Awam, polis, Rela, Pejabat Tanah dan Daerah serta penduduk tempatan turut membantu mengesan kedua-dua beradik itu. Sementara itu bapa dua beradik itu, Meor Mazinun Muin, 43, yang tinggal di Kampung Bekut di sini berkata laporan polis mengenai kehilangan kedua-dua anaknya itu dibuat pada pukul 5.40 petang Khamis. "Selepas balik dari sekolah semalam kira-kira pukul 3.30 petang mereka meminta kebenaran ibu mereka untuk pergi memancing," katanya. Meor Mazinun yang bekerja sendiri itu berkata anak-anaknya bersama-sama dua rakan pergi memancing dan juga mandi di kawasan berkenaan. "Adik-beradik itu memang tidak pandai berenang. Kejadian dipercayai apabila si adik cuba menyelamatkan abangnya yang tergelincir. Dalam masa yang sama dua rakan lain minta tolong orang yang berada berhampiran jeti," katanya. Beliau berkata, Mohammad Izzat yang belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Tok Muda Abdul Aziz dan Mohammad Fahmi pula di Sekolah Kebangsaan Seroli sangat rapat antara satu sama lain. Kedua-dua beradik itu merupakan anak kedua dan ketiga daripada empat beradik, selain kakak berusia 16 tahun dan adik perempuan berumur lima tahun, katanya.