suria

Tragedi MH370, MH17 Gamit Seluruh Rakyat Malaysia Bersatu - Muhyiddin

Muhyiddin Yassin (kiri) bersama Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai (kanan) ketika hadir pada Istiadat Penghormatan Jenazah Tragedi MH17 di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur(KLIA) Ahad lalu.

KUALA LUMPUR: Tragedi kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 dan nahas pesawat MH17 ditembak jatuh telah memanggil seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama untuk bersatu mengharungi detik-detik sukar yang melanda negara.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata semangat sebegini tidak akan lahir sekiranya rakyat Malaysia tidak mempunyai jati diri dan semangat patriotisme yang tinggi untuk berdiri bersama-sama ketika negara berdepan tragedi yang cukup dahsyat itu.

Beliau menarik perhatian bahawa cabaran mengekalkan perpaduan dan keharmonian antara masyarakat berbilang kaum di negara ini bukan sesuatu yang mudah. 

"Namun, kita sudah melakukannya dengan cukup cemerlang dan berjaya sejak 57 tahun lalu atas nama 1Malaysia," katanya dalam perutusan sempena Hari Kemerdekaan ke-57 yang disambut pada Ahad.

Dari kaca mata Muhyiddin, rakyat Malaysia bersatu dalam perbezaan,bersama-sama meraikan dalam kepelbagaian, saling menghormati dalam percanggahan dan menghapus rasa syak wasangka serta curiga dalam perhubungan.

Timbalan perdana menteri berkata rakyat Malaysia harus berbangga kerana dalam tempoh lima dekad ini, negara berjaya mengharungi pelbagai cabaran untuk menjadi sebuah negara bangsa yang maju dan bersatu padu.

"Percayalah, jika semangat kebersamaan ini kita teruskan, satu tempoh lebih panjang dapat kita harungi bersama atas semangat dan patriotisme anak Malaysia,"kata Muhyiddin. 

Menurutnya bertoleransi dan menerima perbezaan adalah resipi utama kejayaan Malaysia membina sebuah negara bangsa yang didiami masyarakat majmuk.

Dalam pada itu, katanya rakyat Malaysia perlu sentiasa menyemat disanubari bahawa kemerdekaan negara yang dikecapi hari ini bukan sepenuhnya milik mereka sebaliknya satu amanah yang perlu diwariskan kepada generasi muda.

"Kita bukan hanya memegang janji pejuang kemerdekaan tanah air silam untuk mempertahan keamanan negara tetapi turut bertanggungjawab untuk memberi makna sebenar kemerdekaan negara untuk dinikmati pula oleh generasi akan datang,"katanya.

Muhyiddin berkata sudah semestinya rakyat Malaysia tidak mahu anak cucu mereka mewarisi sebuah negara Malaysia yang porak peranda.

"Kerana sama seperti pejuang kemerdekaan tanah air silam, sama seperti kita hari ini, dan sama seperti generasi negara akan datang, di sinilah iaitu disebuah negara yang bernama Malaysia inilah Lahirnya Sebuah Cinta," katanya.     

'Malaysia...Di Sini Lahirnya Sebuah Cinta' merupakan tema sambutan Hari Kemerdekaan tahun ini. Muhyiddin berkata daripada sebuah negara miskin ketika merdeka pada 1957, Malaysia hari ini berada dalam kelompok negara berpendapatan sederhana tinggi dan sedang bergerak ke arah menjadi negara maju dalam tempoh enam tahun akan datang.

Dalam berkongsi kejayaan Malaysia, beliau berkata pertumbuhan ekonomi negara sebanyak 6.4 peratus pada suku kedua 2014 adalah yang terbaik dalam kalangan rantau Asean merangkumi 10 negara Asia Tenggara.

Timbalan Perdana Menteri berkata kadar pengangguran dalam negara juga berjaya dikekalkan pada kadar yang rendah iaitu 2.8 peratus.

Menurutnya ini semua menunjukkan program transformasi ekonomi yang dilaksana kerajaan telah membuahkan hasil. 

"Jika pencapaian yang memberangsangkan ini berterusan untuk tahun-tahun akan datang, insya-Allah Malaysia pasti menjadi sebuah negara maju pada 2020," kata beliau.

Artikel Lain