JOHOR BARU: Dua remaja lelaki maut manakala dua lagi rakan mereka cedera parah dalam kemalangan membabitkan tiga kereta di KM1.3 Lebuhraya Utara Selatan menghala bandar raya ini, awal pagi Ahad. Ketua Polis Daerah Johor Baharu Selatan ACP Sulaiman Salleh berkata kejadian berlaku pada pukul 2.10 pagi yang mengakibatkan pemandu Mitsubishi Evo, yang berumur 25 tahun dan penumpang hadapan, berumur 18 tahun, maut. "Kejadian dipercayai berlaku akibat persaingan sesama sendiri antara dua kereta Mutsibishi Evo iaitu berwarna biru yang dinaiki empat remaja dan Mitsubishi Evo kuning yang dipandu seorang lelaki," katanya di sini Ahad. Sulaiman berkata apabila tiba di tempat kejadian, Mitsubishi Evo biru berkenaan hilang kawalan dan melanggar Mitsubishi Evo kuning serta sebuah kereta Proton Waja yang berada di lorong kiri. Beliau berkata Mitsubishi Evo biru terbabit kemudian terputus dua yang menyebabkan pemandu berserta penumpang hadapan maut di tempat kejadian. Beliau berkata dua lagi rakan mereka berumur 16 dan 18 tahun yang berada di tempat duduk penumpang belakang cedera parah, pemandu Mitsubishi Evo kuning hanya cedera ringan manakala pemandu Proton Waja tidak mengalami sebarang kecederaan. Kata Sulaiman, kedua-dua mayat dihantar ke Hospital Sultanah Aminah, di sini untuk bedah siasat manakala dua yang cedera parah itu dihantar ke Hospital Sultan Ismail, di sini untuk rawatan. "Polis meminta orang ramai yang menyaksikan kejadian tampil membantu siasatan. "Polis juga menasihati pengguna jalan raya supaya menghindari perbuatan 'menduga kelajuan' bagi mengelak kejadian buruk," katanya.