KOTA KINABALU: Apo Kahumbo, suspek dalang kes culik rentas sempadan ditembak mati oleh pasukan keselamatan Filipina dalam tempoh 72 jam dia ditahan dalam satu operasi hitam yang dilakukan untuk mengelakkannya meloloskan diri. Suspek berusia 44 tahun itu terbunuh ketika dia cuba melarikan diri selepas dikawal ketat semasa tiba di sebuah mahkamah di pekan Bongao, wilayah Tawi-Tawi, Selatan Filipina. Ketua Polis Tawi Tawi, Kolonel Joey Salido mengesahkan pada Sabtu bahawa Mobin Sahibudin Hailil atau Apo Kahumbo ditembak mati oleh polis Filipina pada Jumaat. Beliau berkata siasatan akan dilakukan terhadap insiden tembakan yang dilepaskan terhadap Kahumbo. Kahumbo ditahan kerana didakwa memiliki sepucuk pistol Colt.45, enam butir peluru dan bom tangan di sebuah pusat pemeriksaan bergerak di Kampung Sanga Sanga di wilayah Tawi Tawi pada Selasa lalu. Satu laporan polis yang dilihat oleh The Star mendapati, dua pasukan keselamatan dari Bangao mengiringi Kahumbo ke pejabat pendakwaan wilayah tersebut untuk didakwa atas kesalahan memiliki senjata api dan bahan letupan secara haram. Menurut laporan tersebut, Kahumbo didakwa dihadapan hakim dan kemudiannya dibawa ke sebuah penjara di Bangao menggunakan laluan di perkampungan Pagasa. "Suspek merampas senjata api dari seorang anggota keselamatan dan berlaku pergelutan. Ia memaksa pasukan keselamatan melepaskan tembakan ke arah Kahumbo. "Pasukan perubatan memberikan bantuan kecemasan dan Kahumbo dikejarkan ke hospital sebelum disahkan meninggal dunia. Sumber perisikan di Filipina dan Malaysia mengesyaki Kahumbo mungkin terbunuh dalam 'Operasi Hitam'. Mereka berkata, agak sukar untuk Kahumbo dijatuhkan hukuman di mahkamah kerana dia mendapat perlindungan daripada seseorang yang berpengaruh di selatan Filipina. "Agak sukar untuk menyakinkan dia didapati bersalah atas pertuduhan memiliki senjata api atau penculikan. "Anggota keselamatan tahu dia akhirnya akan dibebaskan dan oleh itu mereka menembak mati suspek," kata sumber. Kahumbo dipercayai salah seorang dalang yang dipercayai terlibat dalam kes penculikan rentas sempadan dan merupakan ahli kumpulan Abu Sayyaf yang melakukan penculikan di Sabah bagi mendapatkan wang tebusan. Sumber berkata, Kahumbo mungkin terlibat dalam serangan di Pulau Mabul pada 12 Julai lalu apabila sekumpulan lelaki bersenjata Filipina menembak mati anggota Polis Marin, Koperal Abdul Rajah Jamuan, 32, dan menculik rakan mangsa, Konstabel Zakiah Aleip, 26.