KOTA BAHARU: Seorang pelajar tahun enam dikhuatiri buta mata kanan akibat terkena serpihan kaca gogal ketika mandi di Sungai Belahak,pada Sabtu. Insiden pada kira-kira 10 pagi itu berlaku apabila mangsa, Mohd Syazwan AfiqMohd Zaki dan abang sulungnya, Mohd Syazwan Redza, 14, serta beberapa rakan mandi di sungai berkenaan. Ibu mangsa, Zarina Zawawi, 34, berkata ketika kejadian, dia dan suami dalam perjalanan ke Kota Baharu untuk membeli barang keperluan rumah. "Sampai di Kok Lanas, abang sulung menghubungi saya dan memberitahu adiknya mengalami kecederaan di mata dan muka akibat terkena serpihan kaca selepas cermin gogal yang dipakainya terhantuk pada batu ketika mandi di sungai. "Kejadian itu berlaku apabila kepala Afiq terhantuk di batu yang berada didasar sungai dan terkena gogal menyebabkan cermin gogal pecah dan terkena mataAfiq," katanya kepada pemberita di Hospital Raja Perempuan Zainab II(HRPZII) pada Ahad. Zarina berkata pendarahan yang teruk menyebabkan anak kedua daripada empat beradik itu pengsan dalam air sebelum dibantu abangnya dan rakan yang lain untuk dibawa naik ke darat. Terkejut dengan berita itu, Zarina menghubungi ibunya untuk membawa Afiq mendapatkan rawatan di Hospital Jeli sebelum dirujuk ke HRPZII. Beliau berkata pakar perubatan memaklumkan mata hitam anaknya pecah dan mempunyai peluang yang tipis untuk kembali melihat. "Dia dah menjalani pembedahan mata pukul 3 pagi tadi dan keadaannya dilaporkan stabil," katanya.