suria

Isu PPS: Pemuda PAS Pertahan Unit Amal Mungkin Diambil Tindakan

Anggota Unit Amal PAS (berbaju merah) ketika mengawal keadaan dalam satu perhimpunan.

PETALING JAYA: Dewan Pemuda PAS mempertahankan pasukan sukarelawan parti itu, Unit Amal yang mungkin dikenakan tindakan berikutan penahanan anggota Pasukan Peronda Sukarela (PPS) pada Ahad.

Ketuanya, Suhaizan Kayat berkata, Unit Amal adalah berbeza kerana sukarelawannya hanya terlibat dengan aktiviti-aktiviti sosial dan kemanusiaan, tidak seperti PPS yang diasaskan oleh kerajaan negeri Pulau Pinang di bawah pimpinan DAP.

"Sukarelawan Unit Amal hanya aktif dalam keadaan tertentu seperti memberi bantuan semasa berlakunya banjir dan mengawal khalayak ketika perhimpunan parti.

"Anggota Unit Amal bukan seperti PPS yang beroperasi 24 jam di Pulau Pinang dan menjalankan aktiviti penguatkuasaan anti jenayah," katanya kepada The Star pada Isnin.

Suhaizan berkata demikian bagi mengulas mengenai Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, yang dilaporkan berkata, polis akan mengambil tindakan yang sama terhadap Unit Amal, ketika ditanya mengenai perkara itu berikutan penahanan 156 anggota PPS di Pulau Pinang pada Ahad.

"Saya fikir, tindakan yang sama juga akan diambil oleh polis. Saya amat yakin mereka akan diambil tindakan," katanya dipetik sebagai berkata ketika ditemui dalam satu majlis di Kuala Lumpur.

Suhaizan menambah bahawa Unit Amal sudah aktif sejak dua dekad dan memberi khidmat kepada masyarakat sebagai organisasi bantuan kebajikan.

Pada masa ini, unit tersebut mempunyai seramai 850 ahli yang aktif, dengan bilangannya akan berubah-ubah semasa operasi, berbanding PPS, yang mempunyai lebih 9,000 anggota berdaftar.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain