suria

Umno Bukan Parti Nepotisme - Mukhriz Mahathir

Mukhriz Mahathir
KOTA KINABALU: Umno bukan parti yang mengamalkan nepotisme, kata Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir.


Walaupun terdapat pemimpin Umno yang mengikuti jejak langkah bapa masing-masing untuk berkecimpung dalam politik, Mukhriz berkata, penyertaan mereka ditentukan oleh masa.

"Memang saya orang yang tidak sesuai untuk berkata mengenai nepotisme kerana saya adalah anak bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Tetapi saya menceburi bidang politik pada 2004 iaitu setahun selepas bapa saya bersara. Jadi tak patut pembangkang tuduh saya atau Umno sebagai nepotisme," katanya ketika merasmikan mesyuarat perwakilan Umno Penampang di sini, Isnin.

Mukhriz, yang juga anggota Majlis Tertinggi Umno berkata, nepotisme jelas diamalkan oleh pembangkang seperti di Pulau Pinang dan Selangor.

"Penasihat DAP Lim Kit Siang letak anak dia Lim Guan Eng sebagai Setiausaha Agung DAP dan sekarang jadi ketua menteri Pulau Pinang pula.

"Di Selangor, PKR buang menteri besarnya (Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim) kerana penasihatnya (Datuk Seri Anwar Ibrahim) nak isterinya (Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail) jadi menteri besar," katanya.

Malah, Mukhriz berkata, pemilihan Guan Eng, yang berasal dari Melaka, dan Dr Wan Azizah, yang berasal dari Pulau Pinang, untuk jawatan ketua menteri dan menteri besar masing-masing di Pulau Pinang dan Selangor menunjukkan Pakatan Rakyat tidak yakin dengan kemampuan anak jati negeri terbabit untuk menjadi pemimpin.


Artikel Lain