SEREMBAN: 'Saya tak nak kayuh (basikal) dengan awak lagi', itu antara kata gurauan terakhir juruterbang Penerbangan Malaysia (MAS) MH17, Kapten Eugene Choo Jin Leong di hadapan rakan-rakannya kira-kira sebulan sebelum pesawat malang itu ditembak jatuh di timur Ukraine. Azrin Shala, 44, petugas teknikal MAS yang juga anggota Kelab Berbasikal MAS, tidak menyangka ia menjadi kenyataan susulan nahas 17 Julai itu yang meragut nyawa Choo dan 297 yang lain. Azrin ditemui pemberita ketika menyertai kira-kira 20 anggota kelab merangkumi petugas MAS yang datang ke kediaman mendiang di sini untuk memberi penghormatan terakhir. "Ketika itu kami bersarapan bersama-sama apabila selesai berbasikal pada sebelah pagi, dia cakap yang dia tak mahu kayuh basikal dengan saya lagi...tak sangka ia benar-benar berlaku," katanya. Azrin menyifatkan mendiang individu yang sangat prihatin terhadap rakan-rakan dan meminati aktiviti sukan seperti berbasikal dan menunggang motosikal. "Hubungan kami dalam kelab itu sangat rapat, tidak kira kaum dan agama... Kami sentiasa menjalankan aktiviti bersama...selalu keluar makan serta bersukan (bersama-sama)," kata Azlin dalam nada sebak. Rakan sekerja Choo memberi penghormatan terakhir di kediaman juruterbang MAS itu di Sri Carcosa Seremban, Selasa. Shahril Irwan Mohamad, 38, petugas MAS yang juga anggota Kelab Pencinta Motosikal Berkuasa Tinggi MAS berkata, mendiang Choo menyertai kelab itu sejak enam tahun lepas dan aktif menunggang motosikal berkuasa besar, terutama pada hujung minggu. "Apabila tiada penerbangan atau pada hujung minggu, mendiang akan menggunakan aplikasi 'WhatsApps' untuk mengajak kami pergi ronda-ronda dengan motosikal dan sarapan bersama-sama. "Kami selalu menggunakan perkataan 'motoroti' iaitu singkatan kepada 'motor' dan 'roti' iaitu roti canai yang juga sarapan kegemaran mendiang," katanya. Scott (kanan) mententeramkan abangnya ketika menjalankan upacara keagamaan pada Selasa. Abu mayat Choo dan lapan jenazah mangsa tragedi MH17 lain tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari Amsterdam pagi tadi. Choo meninggalkan seorang isteri, Ivy Loi, 42, dan dua anak lelaki, Melvic Choo, 13, dan Scott Choo, 10.