suria

MH17: Jangan Beri Tekanan Kepada Keluarga Mangsa - Khalid

Aizuddin cedera ditumbuk oleh seorang lelaki yang dipercayai waris tragedi MH17 ketika membuat liputan di Pusat Peringatan Nirvana, Sungai Besi pada Selasa. - fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Pengamal media dinasihatkan untuk tidak memberi tekanan kepada waris mangsa nahas pesawat Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) MH17 kerana ia boleh menimbulkan kekecohan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, organisasi media perlu lebih peka dengan keadaaan keluarga mangsa kerana mereka masih lagi trauma ekoran kehilangan insan tersayang.

"Pengamal media, termasuk wartawan dan jurugambar, seharusnya tidak memberikan banyak tekanan kepada keluarga mangsa nahas pesawat MH17 sehingga mereka bertindak balas.

"Perkara sama juga perlu dilakukan oleh ahli keluarga mangsa - jangan terlalu beremosi dan bertindak agresif," katanya ketika dihubungi.

Khalid mengulas mengenai insiden membabitkan seorang jurugambar akhbar New Straits Times yang dipercayai dipukul oleh seorang ahli keluarga mangsa di Pusat Peringatan Nirvana Sungai Besi di sini.

Dalam insiden pukul 10.45 pagi itu, jurugambar Mohd Aizuddin Akmal Saad, 29, dipercayai ditumbuk dibahagian muka sehingga menyebabkan pendarahan di hidungnya.

Aizuddin kemudiannya membuat laporan polis di Balai Polis Sungai Besi.

Khalid berkata polis akan mengambil tindakan terhadap lelaki yang didakwa mendatangkan kecederaan terhadap jurugambar tersebut.

Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Tajuddin Mohd Isa berkata polis masih menyiasat punca insiden tersebut.

"Buat masa ini, kami masih belum merakamkan keterangan daripada mangsa... Lelaki yang memukul mangsa akan dipanggil untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain