Menceritakan kembali insiden kekecohan di Pusat Peringatan Nirvana, Sungai Besi itu, Aizuddin mengakui tidak mengetahui punca sebenar mengapa dia diserang secara tiba-tiba oleh individu berkenaan.
"Saya tak ganggu keluarga mangsa (MH17), tiba-tiba saja satu tumbukan hinggap di muka saya...tumbuk curi," kata Aizuddin ketika dihubungi mStar Online pada Selasa.
Aizuddin, 29, cedera di muka selepas ditumbuk oleh salah seorang ahli keluarga mendiang pasangan Paul Goes, warga Belanda dan isterinya, Subashni Jretnam, serta anak mereka, Kaelamayajay Goes ketika membuat liputan upacara menyambut kepulangan jenazah mangsa MH17.
"Ketika itu petugas media mula menumpukan perhatian kepada saya kerana telah dikasari oleh seorang lagi ahli keluarga mangsa sehingga lensa kamera dan flash saya patah.
"Sebab itulah saya hairan mengapa saya diserang lagi sedangkan saya sudah tidak merakamkan apa-apa gambar ketika itu," katanya.
Terdahulu, ketika urusan mengeluarkan jenazah daripada van jenazah, seorang individu secara tiba-tiba bertindak ganas terhadap seorang jurugambar Utusan Malaysia, Rushdi Salleh.
Aizuddin yang ketika itu berada di lokasi kajadian merakamkan insiden kekecohan tersebut hingga menimbulkan kemarahan lelaki berkenaan apabila menyedari tindakannya dirakamkan.
"Semasa di luar lagi saya sudah dikasari sehingga kamera rosak. Tapi ketika itu kekasaran tidak membabitkan sentuhan fizikal.
"Yang peliknya bila saya dibawa masuk ke ruang dalam, sekali lagi saya diserang tanpa sebab," katanya.
Menurut Aizuddin, dia membuat laporan polis berhubung insiden itu di Balai Polis Sungai Besi.