SHAH ALAM: Pemergian juruterbang pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH17, Kapten Wan Amran Wan Hussin yang terlibat dalam nahas di Ukraine bukan sahaja meruntun jiwa ahli keluarganya, malah menyentuh hati dan perasaan semua juruterbang di dalam serta luar negara.
Salah seorang rakan Allahyarham, Kapten Johanuddin Othman, 43, berkata, kesedihan itu dirasai setiap juruterbang di dunia, terutama di negara ini.
“Sesungguhnya kejadian ini memang menyedihkan untuk keseluruhan yang terbabit dalam kerjaya sebagai juruterbang di dunia, terutama di Malaysia.
“Apatah lagi kawan-kawan yang rapat dan mengenali arwah,” katanya kepada pemberita selepas majlis pengebumian jenazah Wan Amran di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21 di sini, Selasa.
Allahyarham Wan Amran merupakan antara sembilan jenazah yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 8.30 pagi Selasa.
Johanuddin yang mengenali arwah sejak lebih 25 tahun berkata, Wan Amran dianggap pendiam bagi yang tidak mengenalinya, malah dia juga sebenarnya seorang yang pemurah.
“Dia selalu menggembirakan kawan-kawan. Kalau hendak ingat pasal dia, itulah karakter dia...selain selalu menolong rakan-rakan,” katanya.
Jenazah tiba di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21 di sini kira-kira pukul 11.10 pagi dan selamat dikebumikan pada pukul 11.42 pagi.
Terdahulu, jenazah disembahyangkan di masjid negeri, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini.
Allahyarham yang berpengalaman dalam bidang penerbangan lebih 20 tahun meninggalkan seorang isteri, Mariam Yusof, 45, dan dua anak lelaki iaitu Wan Yunus, 10, dan Wan Irfan, 8.