suria

Ahli Politik Sabah Didakwa Hina Islam Di Facebook

David Orok.
KOTA KINABALU: Seorang ahli politik pembangkang, David Orok mengaku tidak bersalah selepas didakwa atas pertuduhan menghasut di Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu.

Orok yang dibicarakan di hadapan Hakim Ummu Kalthom Abd Samad didakwa menyiarkan kenyataan menghina Islam dan Nabi Muhammad di laman Facebooknya tiga bulan lalu.

Orok yang juga ahli Parti Reformasi Negeri (Star) yang bertanding di kersusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sulaman pada pilihan raya umum tahun lalu didakwa dibawah Seksyen 4 (1) (c) Akta Hasutan 1948 yang memperuntukkan denda RM5,000 atau hukuman penjara maksimum tiga tahun.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu antara tengah hari dan pukul 1.50 petang pada 4 Julai lalu di rumah tidak bernombor di Kg.Roun, Jalan Labuaya, Topokan di Tuaran.

Ummu Kalthom kemudiannya membenarkan David yang tidak diwakili peguam dibebaskan dengan ikat jamin RM7,000 tetapi mengarah beliau menyerahkan pasport antarabangsanya.

Orok juga diarahkan untuk melaporkan diri ke Balai Polis Tuaran sekali seminggu sehingga tarikh perbicaraannya yang belum lagi ditetapkan.


Artikel Lain