suria

MH17: Pengamal Media Perlu Berhati-Hati Ketika Bertugas

Mohd Aizuddin menahan kesakitan akibat ditumbuk ahli keluarga mangsa MH17 pada Selasa.
PUTRAJAYA: Pengamal media harus lebih berhati-hati ketika membuat liputan tragedi Penerbangan Malaysia (MAS) MH17, khususnya bila berdepan dengan waris dan ahli keluarga yang masih bersedih berikutan kehilangan orang tersayang, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Wee Ka Siong.

Beliau berkata, waris dan ahli keluarga mangsa MH17 berkemungkinan sukar berdepan dengan orang luar yang tidak dikenali dan tidak biasa dengan liputan berita yang mungkin mereka anggap satu 'infringement' (pencerobohan).

Kesal dengan kejadian jurugambar New Straits Times (NST), Mohd Aizuddin Akmal Saad, 29, yang ditumbuk seorang lelaki ketika membuat liputan di Pusat Peringatan Nirvana Sungai Besi di Kuala Lumpur pada Selasa, Wee berkata, insiden itu tidak sepatutnya berlaku.

"Saya berharap semua waris dan ahli keluarga mangsa mengawal emosi. Wartawan dan jurugambar ada tanggungjawab untuk membuat liputan.

"Jangan menggunakan cara tidak bertamadun dan sebarang keganasan untuk melepaskan kemarahan. Ini tidak dapat diterima," katanya pada sidang media di sini, Rabu.

Wee berkata, insiden itu diserahkan kepada polis untuk tindakan sewajarnya.

Sementara itu, Wee menyaran syarikat dan badan pengutip royalti muzik agar tidak menyalahgunakan kuasa untuk mengutip bayaran daripada premis perniagaan yang bukan bertujuan komersial.

Beliau berkata, ratusan aduan telah diterima daripada pelbagai pihak mengenai kutipan royalti muzik oleh empat syarikat dan badan pengutip.

Sehubungan itu, beliau berkata, perbincangan telah diadakan antara beliau dengan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Hasan Malek selepas mesyuarat kabinet, Rabu.

"Kalau untuk tujuan perdagangan dan komersial, ia patut dikenakan royalti muzik untuk menghormati harta intelek seperti karya muzik tetapi kalau hanya untuk tujuan hiburan peribadi, ia tidak harus dikenakan sebarang bayaran," katanya. 


Datuk Wee Ka Siong, MH17, media

Artikel Lain