suria

Pelajar Maut, Rakan Parah Motosikal Bergesel Dengan Lori

KOTA TINGGI: Seorang pelajar kolej swasta maut manakala rakannya cedera parah dalam kemalangan di Jalan Dato Onn, Bandar Penawar, Kota Tinggi di sini, petang Selasa.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Supt Rahmat Othman berkata dalam kejadian kira-kira pukul 5.15 petang itu, Adib Zulhilmi Khamarluddin, 19, penuntut semester empat bahagian perhotelan di sebuah kolej swasta di Desaru, meninggal dunia di tempat kejadian apabila motosikal yang ditungganginya bergesel dengan bucu hadapan kanan sebuah lori.

"Rakannya, Muhaimad Aiman Roslee, 19, pula cedera parah akibat kecederaan di bahagian kepala dan kini dirawat di Hospital Kota Tinggi (HKT)," kata beliau ketika dihubungi di sini Rabu.

Beliau berkata mangsa yang menunggang motosikal bersama rakannya itu, dalam perjalanan dari arah Desaru menghala ke Bandar Penawar, apabila dia cuba memotong lori yang hendak membelok ke kanan.

Pemandu lori berkenaan yang berusia 42 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Mangsa akan dikebumikan di tanah perkuburan Islam Kampung Sungai Danga Perling, Johor Baharu hari ini sebelum Zuhur.


Polis, Kota Tinggi

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain