Ketua Pegawai Operasi PLUS Malaysia Berhad (PLUS), Mohammad Fuad Khusairi berkata rebat tol sebanyak 30 peratus ditawarkan pada waktu bukan puncak iaitu antara pukul 10 pagi hingga 3.59 petang dan 10 malam hingga 5.59 pagi setiap hari.
"Manakala rebat tol sebanyak 10 peratus pula ditawarkan kepada pengguna yang membayar tol pada waktu puncak iaitu antara pukul 6 pagi hingga 9.59 pagi dan 4 petang hingga 9.59 malam setiap hari," katanya dalam satu kenyataan di sini, Rabu.
Beliau berkata orang ramai juga berpeluang mendapatkan SmartTAG dengan harga promosi RM99 berbanding harga asal RM120 seunit bagi yang menambah nilai kad sebanyak RM30 di Pusat Khidmat Pelanggan Plaza Tol Batu Tiga dan Sungai Rasau.
"PLUS juga mengaktifkan lorong tambah nilai di kedua-dua plaza tol berkenaan yang beroperasi 24 jam sehari bagi memudahkan pengguna kad PLUSMiles atau Touch n' Go menambah nilai kad masing-masing," katanya.