suria

Peminat Bola Sepak Merusuh Masih Diburu Polis

Roslan menunjukkan gambar beberapa perusuh yang dikenal pasti terbabit dalam kejadian Sabtu lepas.
KUCHING: Polis akan terus memburu dan menahan peminat bola sepak yang terlibat dalam rusuhan di Stadium Negeri pada Sabtu lepas.

Ketua Polis Kuching, Asisten Komisioner Roslan Bek Ahmad berkata, tumpuan diberi kepada mereka yang bertindak agresif, memecah dan membakar kenderaan polis, dalam insiden itu yang tercetus selepas perlawanan bola sepak Piala Malaysia antara Perak dan Sarawak.

Pada sidang akhbar di sini, Khamis.

Roslan berkata, polis telah mengenal pasti suspek berdasarkan gambar mereka.

Setakat ini, polis menahan lima remaja berusia 17 hingga 20 tahun dan mereka dihadapkan di mahkamah, Khamis.

Kelima-lima tertuduh mengaku tidak bersalah dan dibebaskan dengan jaminan RM10,000 dan ibu bapa masing-masing sebagai penjamin.

Majistret Portia Tham Ong Leng menetapkan 18 dan 19 November ini untuk perbicaraan kes itu.

Keadaan kelam-kabut tercetus di Stadium Negeri selepas perlawanan itu apabla peminat menyerbu ke padang dan beberapa orang daripada mereka yang sedang berang melempar mercun manakala yang lain pula merosakkan papan iklan.

Peminat dipercayai meluahkan kemarahan mereka kepada Perak berikutan insiden di Ipoh dalam pertemuan antara Sarawak dan Perak, apabila peminat Sarawak diserang dan diherdik oleh penyokong tuan rumah.

Selepas menceroboh ke padang, peminat berkumpul di luar pintu utama stadium untuk menyekat bas pasukan Perak daripada beredar.

Tujuh kereta polis dirosakkan termasuk dua buah yang diterbalikkan, sebuah dibakar, manakala lima anggota polis cedera ringan dalam insiden itu.


rusuhan, Stadium Negeri

Artikel Lain