PETALING JAYA: Kerajaan tidak menangani sesuatu krisis atau konflik dengan usaha yang bersifat konvensional atau tradisional. Sebaliknya, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, usaha menangani krisis tersebut dilakukan dengan mengadakan proses rundingan. Beliau mengambil insiden misteri kehilangan pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 dan MH17 yang dipercayai ditembak jatuh di Ukraine sebagai contoh kerajaan tidak menggunakan langkah konvensional. "Saya ambil satu langkah yang tidak konvensional kerana menyedari misi utama adalah untuk mengenal pasti apa sebenarnya yang berlaku kepada pesawat tersebut (MH17) dan disamping membawa pulang jenazah," katanya. Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan selepas menyempurnakan pengaugerahan Pingat Kedaulatan Negara (PKN) kepada 131 penerima yang terdiri daripada anggota keselamatan serta pegawai awam yang menyumbang khidmat sokongan dalam Ops Daulat di Sabah di Dewan Banquet, Pusal Latihan Polis (Pulapol) di sini, Khamis. Jelas beliau, tanpa rundingan dengan kumpulan pemisah, peluang untuk mendapatkan kotak hitam dan urusan membawa balik jenazah pasti sukar. "Bukan niat dihati saya untuk mencampuri urusan geopolitik di Ukraine atau memihak kepada mana-mana pihak sekalipun, tetapi tanpa melakukan rundingan dengan pihak pemisah tak mungkin kita dapat perolehi kotak hitam seterusnya bawa balik jenazah mangsa nahas MH17. Ini antara langkah yang perlu dilakukan," katanya. Najib berkata, usaha tersebut membolehkan ketua pasukan perunding Malaysia dan anggotanya masuk ke lokasi nahas MH17. "Saya sendiri telah lakukan perkara ini pada bulan Ramadan lalu sebelum waktu sahur... melakukan urusan menelefon pihak tertentu termasuk ketua pasukan kita dan anggotanya untuk dihantar ke kawasan pesawat MH17 terhempas," katanya. Menurutnya, kerajaan akan terus berusaha untuk mendapatkan akses memasuki kawasan nahas bagi menggumpul bahan bukti dan cebisan mayat yang masih tertinggal. "Saya tak puas hati jika setiap mayat mangsa tragedi tidak dibawa pulang. Ini masih kita teruskan," katanya. Mengenai pesawat MH370 pula, Perdana Menteri menegaskan hubungan baik dengan negara luar membolehkan misi pencarian pesawat tersebut dibantu 26 buah negara. "Australia, China dan negara-negara lain turut memberi sumbangan tanpa meminta apa-apa tuntutan perbelanjaan dari negara kita," katanya.