suria

BN Umum Calon PRK Pengkalan Kubor 10 September

MUAR: Barisan Nasional (BN) akan mengumumkan calonnya bagi pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor pada 10 Sept di Tumpat, kata Timbalan Pengerusi BN Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan perdana menteri yang juga pengarah PRK DUN itu, berkata Badan Perhubungan Umno Kelantan sedang memperhalusi beberapa nama yang difikirkan sesuai terutama daripada barisan kepimpinan yang ada di negeri itu, khususnya di Tumpat.

"Datuk Seri Mustapa Mohamed sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri akan memberitahu pada saya dalam sehari dua ini dan dibawa kepada Pengerusi B N(Datuk Seri Najib Tun Razak) untuk diputuskan nanti. Saya akan umumkan pada 10 Sept di Tumpat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat perwakilan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno Bahagian Pagoh di Kompleks Sukan Pagoh, di sini, Jumaat.

Muhyiddin, yang juga Timbalan Presiden Umno itu berkata parti akan mengambil kira pandangan pengundi di situ bagi memastikan calon yang dipilih adalah yang paling sesuai dan layak.

Mengulas keyakinan PKR yang krisis politik di Selangor tidak akan mengugat peluang mereka untuk bertanding bagi kerusi DUN itu, beliau berkata itu hanyalah pandangan mereka (PKR) semata-mata.

Timbalan perdana menteri berkata kemelut politik yang berlaku di Selangor sudah berlarutan lama dan pastinya rakyat boleh memahami, membuat penilaian dan mengambil iktibar termasuk pengundi-pengundi di Pengkalan Kubor.

"Pengundi-pengundi yang ada di Pengkalan Kubor mungkin juga akan ambil kira apa yang berlaku di sana (Selangor) tentang kewibawaan Pakatan Rakyat tentang krisis yang sedang berlaku di situ.

"Kita tidak mahu orang kata seperti menangguk di air yang keruh tentang apa yang berlaku di Selangor tapi apa-apa peristiwa politik yang berlaku di mana-mana pun akan bawa kesan atau implikasi dalam mana-mana keadaan seperti PRK dan sebagainya. Itu kita serah kepada kebijaksanaan pengundi untuk menilai," kata Muhyiddin.

Beliau berkata BN akan mengatur strategi yang paling sesuai dengan mengambil kira aspirasi dan kehendak pengundi terutama mengenai pemimpin yang pengundi rasakan sesuai.

PRK DUN Pengkalan Kubor diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Noor Zahidi Omar, 57, daripada BN akibat kanser hati, pada 20 Ogos lepas.

Pada PRU ke-13, Noor Zahidi yang mewakili BN mengalahkan calon PKR Saharun Ibrahim dan calon bebas, Izat Bukhary Ismail Bukhary dengan majoriti 1,736 undi.

Untuk PRK ini, Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan penamaan calon pada 13 Sept manakala pilihan raya kecil pada 25 Sept.


PRK, Pengkalan Kubor, BN

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain