suria

Ebola: Imigresen Perketat Pemeriksaan Pelawat Dari Senegal

Pegawai imigresen di kaunter pemeriksaan di KLIA mengambil langkah berjaga-jaga dengan memakai topeng muka dan sarung tangan.

PETALING JAYA: Jabatan Imigresen memperketatkan pemeriksaan terhadap pelawat asing dari Senegal, yang merupakan negara terbaharu disahkan mempunyai kes jangkitan Ebola yang mampu membawa maut itu.

Pengarah Imigresen Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Datuk Mohd Zulfikar Ahmad berkata, sejak wabak Ebola dikesan, imigresen telah memperketatkan pemeriksaan di bahagian ketibaan dan perlepasan di lapangan terbang itu.

"Sebelum ini kita melakukan pemeriksaan lebih ketat terhadap mana-mana pelawat asing dari empat negara Afrika Barat iaitu Guinea, Liberia, Sierra Leone dan Nigeria.

"Tetapi sekarang kita turut memperketatkan pemeriksaan melibatkan mereka dari atau melalui Senegal, negara terbaharu yang mencatatkan kes Ebola baru-baru ini," katanya ketika dihubungi mStar Online, Jumaat.

Wabak Ebola yang sehingga kini membunuh kira-kira 1,500 orang di seluruh Afrika Barat telah merebak ke negara kelima di wilayah Afrika itu pada 29 Ogos lalu. 


Mohd Zulfikar berkata, walaupun tiada penerbangan secara langsung dari lima negara Afrika itu tetapi pemeriksaan tetap diperketatkan kerana pelawat asing dari negara terbabit boleh datang ke Malaysia melalui negara lain atau menjadikan negara ini sebagai transit sebelum ke negara ketiga.

"Kita bekerjasama dengan pegawai Kementerian Kesihatan yang membuat saringan kesihatan terhadap pelawat-pelawat di pintu-pintu masuk utama negara.

"Setakat ini, tiada kes yang dilaporkan tentang penumpang yang dijangkiti (Ebola) tetapi langkah berjaga-jaga dilaksanakan seperti penggunaan topeng muka dan sarung tangan oleh semua pegawai Imigresen yang bertugas di kaunter pemeriksaan," katanya.

Beliau menambah, terdapat 48 kaunter pemeriksaan Imigresen di bahagian perlepasan dan 52 di kaunter ketibaan, di KLIA.

Dalam perkembangan lain, Mohd Zulfikar berkata, Jabatan Imigresen tidak menanggung kos penghantaran semula setiap pelawat asing yang dilarang memasuki negara ini kerana disenarai hitam.

Di bawah Seksyen 8(3) Akta Imigresen, mereka yang berkenaan akan dikeluarkan Notis Penolakan Masuk (NTL) dan perlu dihantar pulang ke lapangan terbang yang dinaikinya semasa hendak masuk ke negara ini.

Penghantaran pulang itu ditanggung oleh syarikat penerbangan tersebut. Seperti kes Natalie Lowrey, dia menaiki pesawat AirAsia dari Bali maka AirAsia yang menanggung penerbangannya balik ke Bali, katanya.

Natalie Lowrey, aktivis Anti-Lynas warga New Zealand pada Ahad lalu dilarang memasuki Malaysia atas sebab keselamatan, dan dihantar semula ke Bali pada Isnin.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain